KUALA LUMPUR 6 Julai - Kenanga Research mengekalkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2023 sebanyak 720,000 unit menyamai rekod pencapaian pada tahun lalu didorong keyakinan pengguna dengan sokongan ekonomi yang stabil dan pasaran kerja yang sihat.
Firma itu berkata, kemampuan memiliki kenderaan juga disokong oleh harga kenderaan baharu yang stabil kesan daripada penangguhan peraturan duti eksais baharu yang jika diteruskan akan mengakibatkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat 8%-20%
Selain itu, kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan pengurangan kaedah imbangan dalam pengiraan caj faedah dan model baharu yang menarik.
"Kami percaya bahawa kereta baharu adalah kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun inflasi yang tinggi dan ekonomi global yang perlahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, unjuran yang dibuat itu adalah kira-kira 11% lebih tinggi daripada 650,000 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Katanya, jumlah tunggakan tempahan industri telah bertahan pada tahap yang agak kukuh iaitu 275,000 unit berbanding 300,000 unit tiga bulan lalu walaupun penghantaran sudah disegerakan.
"Ini menunjukkan minat belian kukuh yang berterusan dan minat terhadap model baharu yang menarik.
"Kami meramalkan corak yang sama sepanjang tahun ini.
"Pilihan utama sektor kami ialah MBM Resources Bhd (Outperform; TP: RM4.70) dan Bermaz Auto Berhad (Outperform; TP: RM3.10), kedua-duanya dengan hasil dividen yang menarik melebihi 7%,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor automotif. - DagangNews.com








