Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Power Root kesan kelemahan perbelanjaan pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Power Root kesan kelemahan perbelanjaan pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Power Root Bhd kesan kelemahan perbelanjaan pengguna, inflasi tinggi berterusan dan kebimbangan terhadap rasionalisasi bahan api yang akan berlaku.

 

Katanya, kumpulan itu akan terus memberi keutamaan kepada margin berbanding volum produk dengan menaikkan harga dan mengecilkan diskaun berbanding pesaing mereka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, produk seperti Alicafe dan Ah Huat berdepan cabaran untuk mengekalkan kesetiaan jenama dan ia dilihat akan menyebabkan penurunan jumlah jualan.

 

"Bagaimanapun, kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 13% berkuat kuasa Disember 2024 dijangka memulihkan sebahagian kuasa membeli pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu akan mengoptimumkan perbelanjaan periklanan dan promosi untuk produk utama mereka seperti Alicafe dan Ah Huat yang memberikan margin lebih baik berbanding produk kurang popular seperti Oligo dan French Roast.

 

Katanya, pada FY24, kumpulan itu merekodkan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) yang lebih rendah (11.2% berbanding 15.2%) disebabkan margin untung kasar yang lebih kecil (51.3% berbanding 53.1%, disebabkan oleh kos input yang lebih tinggi) dan peningkatan perbelanjaan periklanan dan promosi.

 

"Pasaran Asia Barat kekal mencabar disebabkan cukai gula yang tinggi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Oman, mengakibatkan kenaikan 50% dalam harga jualan produk Alicafe. Ia telah mengurangkan separuh daripada jumlah jualan kumpulan.

 

"Bagaimanapun, cadangan pengembangannya ke ratau Afrika berada di landasan tepat dan ia akan bermula di Mesir," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.40 sesaham. - DagangNews.com