Kenanga Research jangka perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan, unjur penggunaan swasta berkembang 6.1% tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research jangka perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan, unjur penggunaan swasta berkembang 6.1% tahun ini

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kenanga Research mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pengguna dengan keutamaan untuk peruncit dengan jangkaan perbelanjaan pengguna akan kekal berdaya tahan.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengunjurkan pertumbuhan penggunaan swasta pada 2023 sebanyak 6.1%, disokong oleh ekonomi yang agak stabil, pasaran pekerjaan yang sihat dan kunci kira-kira kukuh dalam isi rumah kumpulan T20 dan M40.

 

Manakala, kumpulan B40 terus mendapat manfaat daripada pelbagai program bantuan kewangan dilaksanakan kerajaan, terutamanya pemberian wang tunai secara langsung, tambahnya.

 

“Kami melihat jangkaan pengunduran dalam rancangan perbelanjaan pengguna sebagai perkara biasa, selepas berbelanja besar pada barangan dan perkhidmatan apabila ekonomi dibuka semula dengan lebihan penjimatan daripada pandemik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata Retail Group Malaysia (RGM) mengunjurkan pertumbuhan jualan runcit pada suku ketiga tahun ini kekal positif dengan peningkatan 2% YoY disokong oleh: (i) kadar kunjungan kedai lebih tinggi didorong oleh musim, (ii) peningkatan ketibaan pelancong, (iii) kuasa perbelanjaan berterusan kumpulan M40 dan (iv) kadar pengangguran lebih rendah.

 

Dari segi kos, Kenanga Research berkata kebanyakan harga komoditi jelas dalam trend menurun tahun ini tetapi masih jauh dari tahap sebelum pandemik dengan pengecualian susu apabila permintaan dan kesesakan logistik semakin berkurangan.

 

“Walaupun inflasi berterusan tinggi, kami menjangkakan perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan kerana tiada rancangan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan subsidi mungkin berdasarkan tahap pendapatan bersih,” tambahnya.

 

Pilihan utama firma itu untuk sektor ini adalah AEON Co. (M) Bhd (outperform, harga sasaran (TP): RM1.80), Padini Holdings Bhd (outperform, TP: RM5.80) dan QL Resources Bhd (outperform, TP: RM6.29).

 

“Peruncit seperti Aeon dan Padini secara khusus akan didorong oleh pembesaran dan pengubahsuaian kedai yang diperbaharui dan kepulangan pelancong antarabangsa, yang sebahagiannya tertarik dengan kelemahan nilai mata wang Ringgit,” katanya.

 

Manakala QL Resources didorong oleh permintaan luar negara untuk makanan lautnya, francais kedai serbaneka Family Mart dan pertumbuhan kukuh perniagaan ayam di rantau ini.  - DagangNews.com