Kenanga Research jangka margin keuntungan Scientex lebih baik didorong kestabilan harga resin | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka margin keuntungan Scientex lebih baik didorong kestabilan harga resin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kenanga Research menjangkakan Scientex Berhad mencatatkan margin keuntungan lebih baik pada masa akan datang didorong oleh penurunan harga resin di pasaran selepas China mengambil keputusan untuk menghentikan sekatan pergerakan.

 

Firma itu berkata, langkah itu akan membuatkan berlakunya lebihan resin di pasaran namun harga purata jualan (ASP) kekal tinggi.

 

Firma itu juga percaya, segmen pembungkusan industri akan mencatatkan margin keuntungan lebih baik berbanding segmen pembungkusan runcit akibat harga bahan mentah dan pengangkutan yang tinggi.

 

"Bagi segmen hartanah, kumpulan memiliki jualan yang belum direkodkan sebanyak RM1.1 bilion memberikan pendapatan yang jelas untuk tempoh kurang setahun dan kami percaya kami percaya segmen itu akan membantu meningkatkan kemajuan mereka pada separuh kedua 2022.

 

"Kemajuan itu akan disokong oleh projek di Johor dengan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura serta pelancaran projek baharu di Negeri Sembilan dan Kedah.

 

"Bagaimanapun mereka berdepan risiko seperti kenaikan harga bahan mentah, kekurangan bahan dan perubahan dalam prosedur permohonan kawal selia yang akan memberi kesan terhadap proses pemulihan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih 3QFY22 Scientex turun 19.61% kepada RM88.3 juta

 

Firma itu menyemak turun pendapatan Scientex untuk FY22E dan keuntungan teras bersh (CNP) sebanyak 6% dan 18% kepada RM3.8 bilion/RM384 juta (daripada RM4.1 bilion/RM470 juta) selepas mengambil kira kos bahan mentah yang tinggi selain kesan inflasi. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23E berdasarkan kepada polisi pemberian 30% dividen .

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.33 berbanding RM4.15," katanya. - DagangNews.com