Kenanga lancar produk baharu dipacu AI, dengan pelaburan serendah RM250 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga lancar produk baharu dipacu AI, dengan pelaburan serendah RM250

KUALA LUMPUR 18 Feb - Kenanga Investment Bank Bhd. melancarkan Kenanga Digital Investing (KDI), penasihat robo terbaharu di pasaran yang dipacu Kecerdasan Buatan (AI) dan automatik sepenuhnya untuk memudahkan cara rakyat Malaysia menyimpan dan melabur. 

 

Platform KDI diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan menawarkan 2 produk yang mudah, iaitu KDI Save dan KDI Invest.

 

 

Ian Lloyd
Ian Lloyd

 

 

Ketua Pegawai Digital Kumpulan Kenanga, Ian Lloyd berkata, dengan pelaburan awal serendah RM250, pelanggan boleh melabur dalam ekuiti global.

 

Katanya, reka bentuk portfolio KDI yang inovatif merupakan pencetus revolusi dalam pengurusan kekayaan. 

 

"Sistem ini memilih portfolio yang sesuai untuk membantu pelanggan mencapai matlamat pelaburan mereka mengikut toleransi risiko masing-masing. 

 

"AI akan memantau keadaan pasaran global dan mengimbangi semula portfolio pelanggan secara automatik, sekali gus memberikan mereka ketenangan bahawa portfolio mereka dijaga sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

KDI Save membolehkan pengguna menikmati pulangan harian untuk simpanan mereka tanpa tempoh terkunci (lock-in) dan yuran pengurusan. 

Malah, ia juga menawarkan kadar faedah tetap yang tertinggi dalam pasaran, iaitu 3.0% mulai sekarang sehingga hujung tahun ini. 

Sementara itu, KDI Invest membolehkan pelanggan meningkatkan kekayaan dengan akses kepada peluang pelaburan global menerusi Dana Dagangan Bursa yang disenaraikan di AS (ETF) pada antara yuran yang paling kompetitif dalam pasaran.

Penasihat Robo bertujuan meringkaskan pelaburan dengan menyingkirkan tekaan dan spekulasi daripada proses pemilihan saham dan dana. Namun, bukan semua penasihat robo adalah sama. 

Dalam hal ini, KDI memantau pasaran global dan bertindak balas terhadap peluang pelaburan baharu menerusi penggunaan teknologi. 

KDI Invest adalah percuma untuk pelaburan RM3,000 ke bawah manakala pelaburan melebihi had tersebut akan dikenakan yuran pengurusan antara 0.3% hingga 0.7% setahun, sekali gus menjadikannya antara platform penasihat robo yang paling kompetitif dalam pasaran hari ini. - DagangNews.com