Kenaikan OPR tidak berkesan tangani kelemahan ringgit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan OPR tidak berkesan tangani kelemahan ringgit

KUALA LUMPUR 31 Okt - Pendekatan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) bagi menangani kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada masa ini adalah tidak ideal dan tidak berkesan, menurut penganalisis.

 

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, beliau kurang setuju menggunakan pendekatan berkenaan bagi mengukuhkan ringgit berbanding dolar AS ketika ini.

 

Beliau menjelaskan bahawa kadar faedah atau dasar monetari adalah dasar yang meluas, yang mana ia boleh memberi kesan kepada pelbagai pihak merangkumi isi rumah, peniaga kecil, peniaga besar dan kerajaan.

 

 

 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Katanya, berdasarkan keadaan semasa, adalah tidak sesuai menggunakan pendekatan tersebut dan ia tidak membantu ekonomi negara.

 

"Bila OPR dinaikkan, kos pembiayaan akan menjadi mahal dan itu akan menyukarkan lagi peniaga untuk mengawal kos mereka.

 

"Kita tahu nilai ringgit kekal lemah (pada masa ini). Memang apa sahaja barangan yang diimport akan menyebabkan harga barang naik. Jadi, saya berpendapat pendekatan menaikkan OPR untuk mengukuhkan nilai ringgit, bukanlah pendekatan yang sesuai," katanya ketika ditemui di Forum RAM 2023 anjuran RAM Ratings di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Malaysia perlu mengambil pendekatan menaikkan OPR bagi menangani kelemahan ringgit berbanding dolar AS pada masa ini.

 

 

Winson Phoon
                                     Winson Phoon

 

 

Sementara itu, Ketua Penyelidik Pendapatan tetap Maybank Investment Banking Group, Winson Phoon juga menyifatkan pendekatan menaikkan OPR bagi mengatasi kelemahan ringgit adalah tidak ideal.

 

Katanya, pendekatan sedemikian juga baginya tidak berkesan untuk menangani situasi kelemahan ringgit ketika ini berikutan perbezaan ketara antara kadar faedah di AS dan Malaysia.  - DagangNews.com