KUALA LUMPUR 4 Jan - Kitaran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka lebih perlahan pada suku pertama dan kedua ini di tengah-tengah ketidaktentuan politik yang semakin mereda.
Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen berkata, berdasarkan semakannya, pasaran menjangkakan kenaikan 25 hingga 50 mata asas (bps) pada separuh pertama 2023.
"Kenaikan ini mungkin menghampiri penghujungnya pada suku pertama hingga kedua ini. Malah, penilaian hartanah juga telah mengambil kira impak negatif kenaikan ini terhadap permintaan hartanah.
"Tetapi, memandangkan kadar ini sudahpun tinggi, kenaikannya mungkin berkurangan pada tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Mengambil kira faktor tersebut, secara keseluruhan, firma itu menyemak naik penarafan sektor hartanah kepada 'overweight'.
Kok Wen juga mendapati risiko ketidaktentuan politik semakin rendah berdasarkan kepada keputusan yang diraih pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, ia secara tidak langsung memberi pemangkin baharu kepada pasaran tempatan terutama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih undi percaya dalam sidang Parlimen, 19 Disember lalu.
"Susulan kedudukannya yang lebih kukuh dalam penggubalan dasar sekarang, pasaran sepatutnya mempunyai jangkaan yang lebih tinggi untuk pertumbuhan ekonomi, bersama-sama dengan aliran masuk pelaburan langsung asing yang lebih kukuh.
"Dengan mengambil kira sentimen pasaran ekuiti yang bertambah baik, dengan jangkaan beberapa pembaharuan ekonomi, kami menjangkakan sektor hartanah juga akan mengatasi prestasi, terutamanya memandangkan penilaian semasa yang tertekan," jelasnya.
Indeks Hartanah KL mencecah paras terendah baru-baru ini pada pertengahan Oktober 2022, sejurus sebelum PRU15.
Malah, beliau berkata, momentum jualan hartanah juga tidak begitu lemah, di sebalik faktor makroekonomi yang kurang memberangsangkan pada 2022.
"Oleh itu, risiko menurun kepada pendapatan pemaju harus dikurangkan pada masa hadapan," katanya.
Di peringkat serantau, Kok Wen berkata, isyarat China baru-baru ini untuk melonggarkan pendiriannya terhadap dasar sifar COVID-19 adalah menggalakkan dalam memulihkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
"Walaupun tidak ramai pemaju tempatan mempunyai pendedahan yang besar kepada pasaran China, tetapi kami berpendapat pelonggaran sekatan kewangan adalah penting untuk mengurangkan kebimbangan pasaran," katanya. - DagangNews.com








