Kenaikan lagi OPR jejaskan prospek jualan hartanah tahun ini - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan lagi OPR jejaskan prospek jualan hartanah tahun ini - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Jan - Kadar dasar semalaman (OPR) yang dijangka meningkat lagi tahun ini akan terus mengheret permintaan hartanah sekali gus menjejaskan jualan bagi sektor tersebut.

 

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng berkata, penurunan berterusan kelulusan pinjaman hartanah menandakan prospek jualan baharu yang mencabar untuk pemaju.

 

Jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah menurun 12.6% bulan ke bulan pada November 2022 selepas penurunan kecil sebanyak 0.4% pada Oktober 2022.

 

Kemerosotan dalam pinjaman yang diluluskan disebabkan terutamanya permohonan pinjaman dan peratusan yang lebih rendah daripada jumlah pinjaman diluluskan berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 42.3% pada November 2022 (Oktober 2022: 47%)

 

"Ini menyaksikan prospek jualan hartanah dijangka lemah berdasarkan permohonan pinjaman yang lebih lemah manakala permintaan untuk hartanah boleh diseret lagi oleh potensi kenaikan OPR pada 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah susut 2.2% pada November 2022, penurunan buat bulan ketiga berturut-turut.

 

Bagi asas tahun ke tahun, permohonan pinjaman susut 21.3% pada bulan tersebut selepas susut 10% tahun ke tahun pada Oktober 2022.

 

Menurut Jze Tieng, permohonan pinjaman yang lemah itu kemungkinan disebabkan kenaikan OPR pada September dan November sebanyak 25 mata asas. 

 

"Selain itu, pembeli juga mengambil langkah tunggu dan lihat ekoran pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada bulan berkenaan," jelasnya.

 

Mengambil kira prospek yang kurang memberangsangkan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah. 

 

"Di sebalik kelemahan dalam harga saham syarikat hartanah pada 2022, kami berpendapat terdapat pemangkin yang terhad untuk memacu sektor ini dalam jangka masa terdekat," katanya.

 

Pilihan utama firma itu bagi sektor hartanah ialah Mah Sing Group Bhd. dan Glomac Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran masing-masing, 74 sen dan 48 sen. 

 

Ini memandangkan kedua-dua syarikat pemaju berkenaan mempunyai pendedahan tinggi kepada segmen pasaran pertengahan dan rumah mampu milik yang menyokong prospek jualan baharu. -DagangNews.com