KUALA LUMPUR 5 Dis - Kempen Cuti-Cuti RFID PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan pakej percutian dan kredit e-dompet Touch ‘n Go bernilai RM39,000 untuk dimenangi oleh pelanggan lebuh raya yang menggunakan Touch ‘n Go RFID sebagai mod pembayaran mereka.
PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi kempen ini, seramai 246 pelanggan RFID yang bertuah akan berpeluang memenangi 6 pakej percutian VIP bernilai RM2,500 dan 240 kredit e-Dompet Touch ‘n Go bernilai RM100 setiap minggu sehingga 14 Januari 2023.
Menurutnya, untuk memenangi hadiah-hadiah tersebut, pelanggan RFID perlu melakukan sekurang-kurangnya 3 transaksi tol setiap minggu di mana-mana plaza tol kendalian PLUS sepanjang 6 minggu tempoh berlangsungnya kempen ini.
"Cuti-Cuti RFID adalah kesinambungan daripada kempen Jom Hari-Hari RFID yang diadakan sebelum ini, dengan kerjasama Touch ‘n Go Sdn Bhd.
"Kedua-dua kempen ini bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan lebuh raya PLUS atas sokongan berterusan mereka menggunakan RFID sebagai mod pembayaran pilihan mereka semasa dalam perjalanan," katanya.
Menurut kenyataan itu, setakat 31 Oktober 2022, terdapat lebih 1.4 juta pelanggan RFID di lebuh raya kendalian PLUS.
Katanya, ia merupakan peningkatan 55% sejak kali pertama Touch 'n Go RFID dilancarkan di Lebuhraya Utara-Selatan pada 15 Januari tahun ini.
Untuk maklumat lanjut tentang kempen ini, sila layari https://rfid.plus.com.my/. - DagangNews.com








