Kemerosotan niaga hadapan minyak mentah Brent ‘hanya sementara', Kenanga Research kekal unjuran harga AS$90 setong pada 4Q23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemerosotan niaga hadapan minyak mentah Brent ‘hanya sementara', Kenanga Research kekal unjuran harga AS$90 setong pada 4Q23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Kenanga Research berpendapat bahawa kejatuhan niaga hadapan minyak mentah Brent baru-baru ini ‘hanya sementara’ dan telah mengekalkan unjuran harganya pada AS$90 setong dalam suku keempat 2023 (4Q23), disokong oleh kawalan bekalan yang berterusan dan pengurangan inventori selanjutnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata niaga hadapan minyak mentah Brent telah jatuh 5.6% kepada AS$86 setong daripada AS$91 setong pada Rabu berikutan kebimbangan permintaan baharu disebabkan peningkatan hasil bon yang menjejas prospek pertumbuhan global.

 

Menurut firma itu, harga minyak mentah masih tinggi berikutan pengurangan pengeluaran minyak OPEC+, di mana inventori minyak global dijangka jatuh sebanyak 200,000 tong sehari pada 4Q23, yang sangat berbeza dengan peningkatan inventori pada separuh pertama 2023 (1H23).

 

“Untuk perspektif, bekalan pasaran minyak mentah global berada pada tahap paling ketat pada 3Q23, apabila inventori minyak mentah global mencatatkan penurunan sebanyak 600,000 tong sehari.

 

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa kenaikan harga minyak mentah Brent sejak permulaan 2H23 menandakan pemotongan pengeluaran OPEC+ berterusan dan inventori minyak mentah mula berkurang bertentangan dengan peningkatan pada 1H23,” katanya.

 

Kenanga Research juga menjangkakan kesesakan pasaran minyak mentah global berkurang, berikutan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) mengunjurkan peningkatan pengeluaran tahun ke tahun (YoY) sebanyak 1.7 juta setong sehari pada tahun 2024.

 

Jelasnya, OPEC dijangka meningkatkan pengeluarannya sebanyak 400,000 tong sehari pada 2024, berbanding anggaran 800,000 tong sehari pada 2023, di mana pemacu utama pertumbuhan pengeluaran adalah dari Amerika Syarikat (AS), Brazil, Kanada dan Guyana.

 

Bagi 2024, firma itu menjangkakan harga minyak mentah secara purata lebih rendah pada AS$86 setong kerana peningkatan permintaan YoY dijangka diimbangi oleh peningkatan pengeluaran (didorong oleh peningkatan pengeluaran bukan OPEC).

 

“Pada 2024, EIA juga telah mengambil kira pembinaan inventori bermula semula dan kekal sepanjang 2024. Ini menunjukkan kepada kami bahawa, bermula 1Q24, tekanan menaik pada harga minyak mentah akan lebih rendah berbanding 4Q23, kecuali jika terdapat permintaan global meningkat secara mengejut, (yang kelihatan dalam trend lemah baru-baru ini),” katanya.

 

Mengulas mengenai penggunaan minyak mentah, firma itu menjangkakan pertumbuhan berterusan pada 2024 tetapi risiko menurun kekal. Unjuran pertumbuhan itu juga disokong oleh jangkaan EIA bahawa penggunaan minyak mentah meningkat 1.4 juta YoY, menjadikan jumlah permintaan minyak mentah 2024 kepada 102.3 juta tong sehari.

 

Kenanga Research berpendapat bahawa harga minyak mentah (walaupun akan kekal pada julat semasa) tidak mungkin mencapai AS$100 setong atau lebih tinggi, kerana majoriti peningkatan permintaan akan diimbangi oleh jangkaan peningkatan dalam pengeluaran daripada negara-negara bukan OPEC.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor minyak dan gas (O&G) dan ia cenderung kepada perkhidmatan huluan berikutan jangkaan peningkatan dalam perbelanjaan huluan oleh kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

 

“Di hiliran, kami kurang teruja dengan prospek jangka dekat hingga sederhananya, kerana bekalan petrokimia terus mengatasi permintaan (sebahagian besarnya disebabkan oleh pengembangan kapasiti di China dan Asia secara keseluruhan), manakala harga baja berkemungkinan besar tidak akan mengulangi prestasi cemerlang harganya pada 2022,” tambahnya.

 

Saham pilihan utama firma itu bagi sektor ini, dengan saranan ‘outperform’, adalah Yinson Holdings Bhd dengan harga sasaran (TP) RM3.65 dan Dialog Group Bhd dengan TP RM3.10. - DagangNews.com