Kemasukan 179,451 pekerja asing hujung bulan ini - Saravanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemasukan 179,451 pekerja asing hujung bulan ini - Saravanan

KUALA LUMPUR 12 April - Proses kemasukan 179,451 pekerja asing membabitkan lima sektor iaitu pembinaan, pertanian, perladangan, perkhidmatan dan pembuatan akan diselesaikan melalui dua fasa.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, bagi fasa pertama yang akan dilaksanakan sebelum hujung bulan ini, sebanyak 24,560 permohonan daripada keseluruhan permohonan itu dijangka selesai melalui proses temu duga sebelum diluluskan dan dibawa masuk menjelang 27 April 2022.

 

Katanya, untuk fasa kedua membabitkan 154,891 pekerja asing pula akan diselesaikan dan dibawa masuk dalam tempoh enam minggu lagi.

 

"Sehingga 7 April lalu, sebanyak 519,937 permohonan pekerja warga asing sudah diterima dan daripada jumlah itu, lebih 50% atau 290,939 permohonan pekerja warga asing masih belum dihantar 2,578 majikan yang memohon.

 

"Daripada 519,937 permohonan, kira-kira 40,000 ditolak kerana tidak mengikut kaedah ditetapkan seperti permohonan tidak lengkap, tidak layak dan membabitkan sektor dibekukan," katanya pada sidang media, hari ini.

 

Pada masa sama, Saravanan berkata, sektor yang masih dibekukan ialah sektor tekstil, kedai emas, besi buruk dan tukang gunting rambut, menurut Berita Harian.

 

 

sara
Datuk Seri M Saravanan

 

 

Beliau berkata, Malaysia kehilangan kira-kira RM20 bilion melalui sektor yang bergantung kepada pekerja asing berikutan kekurangan tenaga kerja itu dan penutupan sempadan sepanjang pandemik. - DagangNews.com