Kelulusan Sarawak miliki syarikat penerbangan sendiri dijangka 3 bulan lagi, kata Abang Johari | DagangNews Skip to main content

Kelulusan Sarawak miliki syarikat penerbangan sendiri dijangka 3 bulan lagi, kata Abang Johari

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING 29 Mac - Kelulusan untuk Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri daripada Kerajaan Persekutuan dijangka diketahui dalam tempoh tiga bulan lagi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Menurut beliau, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menyatakan keterbukaannya terhadap hasrat Sarawak itu..

 

“Kami juga masih berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) dan Khazanah Nasional Berhad mengenai penubuhan syarikat penerbangan kami sendiri untuk meningkatkan industri pelancongan kami,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai penerbangan terus ke Kuching semasa menghadiri majlis makan malam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Negara Malaysia (NCCIM) dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) yang diadakan di sini malam tadi.

 

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata pelancong masa kini lebih memilih penerbangan terus, yang lebih mudah dan menjimatkan masa.

 

“Memiliki syarikat penerbangan sendiri membolehkan kami membawa pelancong terus ke Kuching, yang memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhannya.

 

“Melalui syarikat penerbangan ini, kami juga akan dapat menembusi hab penting untuk pelancongan,” katanya tambah.

 

Beliau seterusnya berkata, jika Sarawak makmur, Malaysia juga akan makmur. ― DagangNews.com