Kelemahan segmen teknologi jejaskan untung bersih Q2 DNex, susut 27% kepada RM31.88 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan segmen teknologi jejaskan untung bersih Q2 DNex, susut 27% kepada RM31.88 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Feb - Untung bersih Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) bagi suku kedua (Q2) berakhir 31 Disember 2022 susut 27.26% kepada RM31.88 juta daripada RM43.83 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan hasil segmen teknologi yang lebih rendah dan keuntungan kadar tukaran asing yang lebih tinggi pada suku berkenaan. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 6.45% kepada RM330.53 juta daripada RM353.31 juta dipengaruhi penghantaran wafer yang lebih rendah dalam segmen teknologi, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagaimanapun, impak penurunan itu dimbangi dengan segmen tenaga dan teknologi maklumat (IT) dengan hasil masing-masing sebanyak RM30.23 juta dan RM4.4 juta.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 31 Disember 2022, untung bersihnya merosot kepada RM73.61 juta daripada RM337.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, sebaliknya pendapatan kepada RM750.11 juta daripada RM624.18 juta.

 

 

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

 

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, prestasi kewangan pada suku berkenaan mencerminkan permintaan luaran yang lemah ekoran kebimbangan berlakunya kemelesetan.

 

Bagaimanapun, katanya, kumpulan kekal fokus untuk mengembangan kedudukan di pasaran global bagi membina pertumbuhan yang mampan dalam tempoh jangka panjang di sebalik persekitaran ekonomi yang mencabar.

 

"Kami komited untuk memanfaatkan kekuatan dan keupayaan untuk menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan, dan kami percaya bahawa portfolio kepelbagaian dan inisiatif strategik membolehkan kami mengharungi ketidaktentuan semasa dan muncul lebih kukuh pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan berasingan. 

 

Menurutnya, dalam segmen teknologi, kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global telah membawa kepada pelarasan inventori, mengakibatkan ketidaktentuan jangka pendek dalam permintaan bagi semikonduktor.

 

Akibatnya, jumlah penghantaran wafer telah terjejas kerana pelanggan mengurangkan pesanan sebagai tindak balas kepada unjuran permintaan.

 

"Kumpulan menjangkakan volum penghantaran wafer menjadi normal dalam jangka masa terdekat, terutamanya didorong komitmen volum penghantaran daripada tiga pelanggan Perjanjian Jangka Panjang (LTA),” tambahnya.

 

Bagi segmen tenaga, di Ping Petroleum Ltd., telah mengembangkan jejaknya di Malaysia dan meluaskan portfolio aset minyak dan gas (O&G) menerusi dua kontrak perkongsian pengeluaran yang ditandatangani dengan Petronas untuk pembangunan dan pengeluaran minyak dan sumber gas di luar pesisir Terengganu dan Sarawak.

 

Sementara itu, bagi memperkukuhkan segmen IT, kumpulan memanfaatkan teknologi terkini seperti kecerdasan pintar (AI) dan analisis data besar bagi memperluaskan keupayaan digital. - DagangNews.com