Kedudukan Cahya Mata Sarawak terus kukuh di sebalik ketidaktentuan harga simen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedudukan Cahya Mata Sarawak terus kukuh di sebalik ketidaktentuan harga simen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Okt - RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap Cahya Mata Sarawak Bhd. dengan harga sasarannya disemak turun kepada RM1.02 daripada RM1.40 sesaham sebelum ini.

 

Firma itu menjangkakan kontrak infrastruktur baharu di Sabah dan Sarawak serta penempatan semula ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur sebagai pemangkin utama kepada prospek kumpulan.

 

Menurutnya, selepas merekodkan prestasi kewangan separuh pertama yang lebih baik daripada jangkaan, kumpulan telah memulakan langkah penambahbaikan kos dan kecekapan operasi untuk melayari separuh kedua 2022 yang mencabar di tengah-tengah peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan buruh.

 

Ia mendapati harga simen pukal telah menyederhana sebanyak 3% bulan ke bulan kepada RM295.50 setiap satu tan, tetapi kekal lebih tinggi daripada harga jualan purata (ASP) sebelum COVID-19 sebanyak RM198 setiap satu tan sebanyak 49%.

 

"Pemulihan permintaan juga terhad akibat masalah kekurangan buruh yang berterusan, yang mungkin hanya bertambah baik pada 2023 apabila pekerja asing perlahan-lahan mula kembali ke negara ini.

 

"Kami berpendapat pemulihan projek infrastruktur tempatan selepas Bajet 2023 dan kestabilan politik (iaitu selepas pilihan raya umum) akan menjadi pemangkin utama kepada sektor dalam tempoh jangka pendek untuk bergerak ke hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada separuh pertama 2022, purata pengeluaran simen bulanan sebanyak 1.8 juta tan adalah lebih tinggi daripada purata bulanan sebelum pandemik sebanyak 1.6 juta tan kerana sektor itu menyaksikan lonjakan dalam permintaan berikutan pembukaan semula ekonomi.

 

Bagaimanapun, keadaan operasi yang semakin mencabar disebabkan kekurangan buruh dan tekanan kos sejak suku kedua telah membawa kepada aliran menurun dalam pengeluaran simen.

 

Pada Julai, pengeluaran simen bulanan hanya 1.1 juta tan selepas memuncak pada 2.5 juta tan pada Februari.

 

Namun, RHB Investment menaikkan unjuran harga simen bagi sebanyak 10% kepada RM370 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), selepas mengambil kira kenaikan ASP Cahya Mata Sarawak pada Februari lalu.

 

"Kami juga menaikkan anggaran kos arang batu bagi 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 70% dan 28% yang mengambil kira kenaikan harga arang batu berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dan larangan eksport yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia," jelasnya.

 

Setakat 10.18 pagi ini, harga saham Cahya Mata Sarawak kekal tidak berubah pada 81.5 sen sesaham dengan 200,200 saham diniagakan. - DagangNews.com