PADANG TERAP 2 Sept - Projek pembangunan Kedah Rubber City (KRC) telah berjaya menarik kemasukan pelaburan swasta berjumlah RM3.1 bilion dan mewujudkan sebanyak 830 peluang pekerjaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, setakat ini Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan bersepadu yang berteraskan rakyat di Padang Terap yang memberikan limpahan manfaat kepada seramai 2,236 ahli Keluarga Malaysia di daerah itu.
Beliau berkata, KRC merupakan sebuah projek berimpak tinggi nasional dan taman perindustrian berasaskan produk getah yang pertama dibangunkan di daerah Padang Terap, melibatkan keluasan tanah kira-kira 1,244 ekar dalam dua fasa pembangunan.
"NCIA sebagai agensi pelaksana, juga komited untuk terus menyumbang dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri Kedah amnya dan Daerah Padang Terap khususnya melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti KRC," katanya ketika berucap pada Program 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia @ Padang Terap di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang, Padang Terap hari ini.
Menurut Perdana Menteri, secara keseluruhan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melaksanakan pelbagai projek atau program pembangunan mencecah hampir RM2 bilion di Kedah terutamanya kawasan luar bandar.
"Masyarakat luar bandar termasuklah di negeri Kedah ini seharusnya bersyukur dengan pembangunan luar bandar yang semakin rancak dilaksanakan.
"Tahniah saya ucapkan kepada KPLB dan agensi-agensi di bawahnya termasuk KEDA, Felcra, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terus-menerus menyumbang bakti dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan jayanya.

"Saya gembira melihat pelbagai projek pembangunan di Daerah Padang Terap ini berjaya meningkatkan keselesaan dan taraf hidup para penduduk di sini. Usaha berkenaan telah menampakkan hasil yang begitu membanggakan," katanya.
Beliau berkata, selain melaksanakan projek pembangunan, kerajaan juga melabur dalam pembangunan modal insan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa terutamanya di luar bandar, termasuk mengadakan 47 Taman Bimbingan Kanak-Kanak dan 11 Taman Asuhan Kanak-kanak di Padang Terap.
Katanya, KEMAS turut menawarkan pelbagai kelas-kelas kemahiran seperti kelas komputer, jahitan, masakan dan bina insan yang memberi manfaat yang besar kepada golongan belia di daerah tersebut.

"Penyedia program pembangunan modal insan seperti MARA turut mengadakan pelbagai kursus kemahiran di sini melalui GIATMARA Padang Terap.
"Di samping itu, penyediaan akses pendidikan berkualiti di peringkat matrikulasi dan asasi melalui program menaik taraf infraktuktur Orang Kurang Upaya (OKU) di Kolej MARA Kuala Nerang, dijangka akan memberi manfaat kepada 100 pelajar OKU.
"Saya amat berharap program seperti ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membolehkan agensi-agensi berkaitan dapat bersama-sama turun padang bagi mendekati rakyat," katanya.
Terdahulu, beliau berkata, penyediaan makanan untuk jamuan program ‘Kenuri’ Rakyat diadakan secara rewang atau gotong-royong oleh anak-anak jati Padang Terap.
"Syabas kerana amalan ini masih lagi menjadi satu tradisi di banyak kawasan di Daerah Padang Terap ini.
"Saya juga dimaklumkan kesemua lapan Penghulu Mukim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bertungkus-lumus melakukan menyediakan jamuan ‘Kenuri’ Rakyat ini, bermula dengan menumbangkan 10 ekor lembu, melapah daging, menyediakan semua ramuan, memasak sehinggalah selesai juadah yang terhidang pada hari ini.
"Saya begitu teruja melihat kemeriahan suasana ‘Kenuri’ Rakyat pada pagi ini. Jelas kelihatan keceriaan warga Keluarga Malaysia Padang Terap yang hadir, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Terima kasih saya ucapkan kepada semua," katanya.
Dalam program itu, beliau turut menjemput semua Keluarga Malaysia untuk hadir ke Stadium Darul Aman bagi memeriahkan pelbagai program dan aktiviti yang disediakan dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah mulai hari ini sehingga 4 September 2022. - DagangNews.com








