Kecerdasan Buatan (AI) penting diguna pakai untuk masa depan pendidikan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kecerdasan Buatan (AI) penting diguna pakai untuk masa depan pendidikan di Malaysia

Oleh Profesor Madya Dr Lim Chee Leong

ChatGPT menggemparkan dunia Disember lalu apabila OpenAI, sebuah syarikat Kecerdasan Buatan (AI) membuka versi pratonton penyelidikannya kepada orang ramai untuk diuji dan digunakan secara percuma.

 

Ini menimbulkan reaksi bercampuran daripada ahli akademik di seluruh dunia atas kemunculan AI chatbots, daripada mereka yang menerima sepenuhnya kepada mereka yang menolaknya atas dasar mencabar integriti akademik.

 

Pasaran telah pun tepu dengan alatan AI generatif serba guna lain sebelum kebangkitan ChatGPT.

 

Antaranya ialah YouChat dan Jasper Chat yang membolehkan pengguna kekal berhubung, Chatsonic yang menyediakan penjanaan idea dan mengoptimumkan SEO manakala Adaptive Learning Experience (aleX) adalah untuk pengalaman pendidikan tinggi.

 

Noodle Factory mengautomasikan tunjuk ajar, pemarkahan dan penyediaan peperiksaan AI, ProfesorBob.ai membantu dalam mengajar, bertanya dan menjawab soalan.

 

Gradescope membantu pengguna mentadbir dan menilai penilaian dengan lancar, sama ada dalam talian atau dalam kelas, dan GETMARKED mengautomasikan penciptaan e-tugasan dalam talian dengan menukar dokumen Word atau PDF ke dalam format Kuiz dalam Sistem Pengurusan Pembelajaran.


 

parafrasa

 


Melanggan alat AI cukup mudah, tetapi apabila menggunakannya, pendidik perlu mempertimbangkan semula pedagogi mereka untuk pembelajaran yang berkesan bagi pelajar-pelajar.

 

5 cara untuk mengkonsepkan semula pengajaran dan pembelajaran dengan AI

 

1. Mengguna pakai dasar AI ke dalam kurikulum, menggalakkan AI sebagai "kemahiran baru muncul"

Pensyarah dan pelajar perlu menerima bahawa alatan AI akan menjadi instrumen yang menonjol dalam bidang pendidikan dari segi mengakses pengetahuan sekarang dan di masa hadapan.

 

Daripada menentang, lebih baik menggunakannya lebih awal sebagai alat sokongan untuk pembelajaran terarah kendiri. Pendidik boleh melakukan ini secara berperingkat untuk membantu para pelajar menggunakannya untuk belajar sendiri dan melengkapkan tugasan.

 

2. Bot-bot AI sebagai pembantu pengajar secara maya

Pensyarah perlu menentukan perkara yang perlu dipelajari dan membimbing pelajar mereka untuk menggunakan alatan AI sebagai 'guru sokongan' mereka.

 

Pelajar boleh dibimbing tentang cara untuk menggesa bot menggunakan sub-soalan yang lebih kecil untuk mendapatkan jawapan, membolehkan mereka memahami topik yang kompleks.

 

Dengan cara ini, mereka diajar untuk melibatkan diri secara kritikal dengan AI dan bukannya menggunakannya semata-mata untuk menghasilkan jawapan untuk tujuan melengkapkan tugasan.


 

parafrasa

 


3. Alat AI untuk merancang pengajaran dan tugasan yang sesuai dengan keperluan dan kebolehan setiap pelajar

Untuk sekian lama, pensyarah telah bergelut untuk mereka bentuk objektif pembelajaran yang berasingan untuk pelajar yang mempunyai kebolehan berbeza dalam kelas, terutamanya jika sesuatu pelajaran disasarkan kepada kohort yang lebih besar.

 

Bot AI boleh diarahkan untuk merancang pengajaran sesuai bagi membantu pensyarah menjimatkan masa dalam merancang dan menggunakan pelajaran mereka untuk pelajar yang berbeza daripada orang lain.

 

4. Maklum balas peribadi kepada pelajar yang menggunakan alatan AI

Secara tradisinya, pensyarah menghabiskan masa berjam-jam menanda kerja pelajar, manakala dengan penggunaan alatan AI hari ini, maklum balas automatik tetapi sesuai kepada kerja pelajar boleh dihasilkan.

 

Ini mengurangkan masa penandaan dengan ketara dengan mengenal pasti tugasan yang mempunyai jawapan tetap seperti masalah matematik dan tugasan berasaskan teks seperti karangan.

 

Semasa pensyarah menanda, alatan AI sedemikian cukup pintar untuk memberikan maklum balas bukan generik yang disesuaikan dengan setiap penyerahan unik. Jika pensyarah tidak berpuas hati dengan maklum balas yang dihasilkan, bot boleh digesa dengan komen pensyarah untuk menjana semula maklum balas yang baru.

 

5. Meningkatkan kesedaran tentang kesan penggunaan sembarangan alatan berkuasa AI terhadap pendidikan dan kelayakannya

Sebagai platform yang berkuasa, pelajar mesti tidak melihat alatan AI sebagai penyelesaian sehenti kepada semua masalah pembelajaran.

 

Mereka mesti dimaklumkan bahawa pekerjaan masa hadapan memerlukan kemahiran yang diasah dan kecekapan manusia yang mungkin tidak dapat diperoleh dengan hanya mengarahkan bot AI untuk menyelesaikannya.

 

Sesetengah temu duga kerja mempunyai halangan seperti ujian kemahiran untuk menunjukkan kecekapan. Itu akan menjadi ujian muktamad sama ada graduan perlu diambil bekerja dan bukannya melalui sijil pendidikan sahaja.


 

 

parafrasa


 

Walaupun ketibaan AI menandakan keperluan untuk perubahan segera dan inovatif dalam industri pendidikan, pendidik dan pelajar harus melihat AI sebagai sekutu dan bukannya musuh.

 

Tidak ada masa yang lebih baik daripada sekarang untuk para pendidik beralih daripada menjadi seorang yang berdiri di hadapan kelas dan menyampaikan pengetahuan yang perlu diingati kepada seorang yang mementingkan pembelajaran yang membuat pelajar berfikir.

 

Pelajar tidak lama lagi akan didedahkan kepada alat AI yang lebih berpengaruh yang boleh menjana pengetahuan yang lebih mendalam daripada pendidik menggunakan buku teks dan enjin carian tradisional. – DagangNews.com

 

Profesor Madya Dr Lim Chee Leong ialah Pengarah Inovasi dan Pembangunan Pembelajaran (LID) di Pusat Pembelajaran Masa Depan, Taylor’s University.