KDNK suku keempat diunjur catat pertumbuhan lebih perlahan, kata penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

KDNK suku keempat diunjur catat pertumbuhan lebih perlahan, kata penganalisis ekonomi

Permintaan global yang lemah, kitaran normalisasi kadar faedah dan kadar inflasi tinggi telah memberi impak kepada aktiviti ekonomi pada suku keempat. - Gambar : Lim Jun Yi/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Feb - Penganalisis ekonomi mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 8% pada 2022 di sebalik prestasi suku keempat yang dijangka lebih perlahan. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada suku keempat, esok. 

 

Bagi suku ketiga, ekonomi negara mencatat pertumbuhan luar biasa pada 14.2% berbanding 8.9% pada suku kedua dan 5% pada suku pertama.

 

Menurut Maybank Investment Bank (IB), suku keempat 2022 menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), Indeks Jumlah Perkhidmatan dan Nilai Kerja Pembinaan, tetapi pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

 

"Berdasarkan petunjuk ini, kami menjangkakan KDNK suku keempat akan berkembang 6% menjadikan keseluruhan pertumbuhan 2022 sekitar 8.5%.

 

"Bagi tahun ini, kami jangkakan ekonomi akan berkembang lebih perlahan pada 4%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara akan berkembang lebih lemah pada 6.8% tahun ke tahun dipengaruhi kebanyakan sektor yang semakin menyederhana terutamanya pembuatan dan perkhidmatan. 

 

Dari segi permintaan, katanya, pertumbuhan dijangka dirangsang oleh penggunaan swasta, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

 

"Bagaimanapun, kami menyemak naik unjuran KDNK bagi suku keempat kepada 6.8% berbanding anggaran sebelum itu, 5.5%.

 

"Sejajar dengan semakan semula ini, kami melihat kecenderungan menaik kepada ramalan KDNK 2022 kami sebanyak 8.2%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

CGS-CIMB Research menjangkakan KDNK sebenar akan berkembang 6% tahun ke tahun pada suku keempat dengan pertumbuhan keseluruhan 2022 diunjur pada 8.4%.

 

Menurutnya, permintaan global yang lemah, kitaran normalisasi kadar faedah dan kadar inflasi tinggi telah memberi impak kepada aktiviti ekonomi pada suku tersebut.

 

"Melainkan kesan asas rendah yang hilang dan kenaikan kadar faedah oleh BNM serentak dengan persekitaran kadar inflasi yang tinggi yang dicatatkan pada suku keempat, aktiviti ekonomi Malaysia lebih sederhana berbanding suku ketiga.

 

"Di samping itu, kekurangan pekerja asing yang berterusan dan permintaan global yang lemah mungkin turut menjejaskan pertumbuhan," jelasnya. - DagangNews.com