KUALA LUMPUR 4 Okt - Syarikat telekomunikasi (telco) yang berjaya melancarkan perkhidmatan 5G secepat mungkin akan meraih kelebihan memandangkan ketersediaan rangkaian itu yang terhad ketika ini.
Penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli berkata, komitmen yang ditunjukkan semua pemain industri dan pihak berkepentingan menyaksikan liputan 5G mencecah 27% daripada populasi dengan sasaran 37% mampu dicapai menjelang akhir 2022.
Malah, beliau percaya empat daripada enam syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dijangka menerima model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan 5G setelah beberapa kali tertangguh sebelum ini.
"Kami mengulangi pandangan kami bahawa komitmen MNO terhadap penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB) mungkin akan meningkatkan penarafan kreditnya dalam pelaksanaan penjanaan bon untuk melancarkan 5G.
"Ini juga merupakan satu kemenangan kepada agenda nasional kerana ia mempercepatkan kemajuan revolusi perindustrian (IR) 4.0 di Malaysia, dirangsang oleh kelajuan mudah alih yang cekap pada tarif berpatutan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurutnya, liputan 5G di kawasan bandar dan berpenduduk adalah lebih diutamakan memandangkan keperluan untuk liputan konsisten yang lebih stabil di kawasan berpenduduk padat dan perniagaan.
Namun, tambahnya, berdasarkan pengalaman negara lain, harga perkhidmatan 5G dijangka lebih tinggi sedikit yang sepatutnya meminimumkan kesan kos perbelanjaan.
Secara keseluruhan, beliau mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi memandangkan telco dan pelabur mencapai kata putus dalam pelaksanaan 5G menerusi model SWN.
"Kami percaya penurunan penarafan sektor ini dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menggambarkan pandangan pasaran pada model itu dengan secukupnya, yang bermakna pembalikan harga saham mungkin berlaku apabila masalah dapat diselesaikan," jelasnya.
Pada 31 Ogos lalu, DNB memaklumkan dua MNO mengubah keputusan saat akhir untuk tidak memeterai perjanjian langganan saham (SSA) bersama agensi pelaksana rangkaian 5G di Malaysia, DNB.
Reuters sebelum itu melaporkan dengan memetik tiga sumber bahawa dua pengendali mudah alih tidak mahu mengambil kepentingan dalam DNB, sekali gus berpotensi menangguhkan lagi pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia.
Keputusan yang diambil oleh Maxis Bhd. dan U Mobile dibuat selepas kerajaan menolak cadangan dikemukakan oleh dua syarikat itu serta dua lagi pengendali utama, Celcom Axiata Bhd. dan DiGi Telecommunications supaya keempat-empatnya menguasai kepentingan majoriti dalam DNB.
Kerajaan sebaliknya meminta enam pengendali mudah alih di negara ini bersetuju untuk mengambil 70% gabungan kepentingan dalam DNB dan menetapkan 30 Ogos 2022 sebagai tarikh akhir perjanjian berkenaan.
Susulan itu, pada awal bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan dua MNO untuk tidak melanggan saham DNB itu tidak akan memberikan impak besar kepada kerajaan dari segi kewangan kerana difahamkan bahawa beberapa bank tempatan dan asing bersedia untuk membiayai pelaksanaan 5G di Malaysia.
Bagaimanapun, Ahmad Ramzani berkata, prospek sektor telco masih kekal positif dengan mengambil kira permintaan yang kukuh daripada pengguna dan perniagaan di peringkat tempatan dan serantau.
"Permintaan untuk mudah alih dan jalur lebar tempatan akan disokong dengan liputan yang lebih luas pada penghujung Fasa 1 Inisiatif Jendela.
"Pemain industri seperti Axiata Group Bhd. (menerusi Celcom) dan Digi.com Bhd. akan mendapat manfaat daripada liputan yang lebih meluas sehingga ke pelusuk terpencil di negara ini, serta kemasukan semula pekerja asing," katanya.
Menurutnya, dalam menyediakan liputan 4G yang lebih luas dan kualiti jalur lebar yang lebih baik ketika negara beralih kepada teknologi 5G, inisiatif Jendela dilihat berada di landasan yang betul dan telah melepasi sasaran di beberapa kawasan.
"Sehingga separuh pertama 2022, sejumlah 7.2 juta premis (sasaran 2022: 7.5 premis) kini mempunyai akses kepada jalur lebar gentian dan 95.6% (berbanding sasaran 2022 sebanyak 96.9%) kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada liputan 4G," tambahnya. - DagangNews.com








