Kaspersky anjur bengkel didik pelajar tentang bahaya jenayah siber | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kaspersky anjur bengkel didik pelajar tentang bahaya jenayah siber

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Kaspersky dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manganjurkan bengkel mengenai kesedaran keselamatan siber kepada pelajar Sekolah Menengah PJ dalam usaha membantu meningkatkan daya tahan siber di Malaysia.

 

Program ini bertujuan untuk mendidik para peserta tentang cara memastikan diri mereka selamat sambil membantu mereka membina daya tahan berhubung keselamatan siber.

 

Pengurus Hal Ehwal Akademik Asia Pasifik Kaspersky, Trishia Octaviano berkata, bengkel itu juga bertujuan mendidik pelajar tentang asas bahaya siber yang menyasarkan mereka. 

 

"Realitinya ialah kanak-kanak pada masa kini banyak terdedah di web seluruh dunia. Mereka terdedah kepada ancaman berbeza yang boleh membahayakan mereka dari segi emosi, kewangan, psikologi, dan kadang-kadang juga dari segi fizikal. 

 

"Adalah penting untuk melengkapkan golongan muda ini dengan alatan yang betul dan ajar mereka tingkah laku dalam talian yang betul supaya mereka boleh mengemudi dunia digital dengan bertanggungjawab dan selamat," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pasukan Kaspersky memberikan cerapan kepada peserta dalam perisian hasad, jenis serangan dan petua berguna untuk melindungi diri mereka. 

 

Sesi itu juga membincangkan isu buli siber, doxing dan privasi, yang biasanya tidak diketengahkan atau dibincangkan secara meluas.

 

Para peserta juga dilayan dengan permainan berkaitan keselamatan siber yang menunjukkan realiti apabila seseorang itu menjadi mangsa ancaman siber tersebut.

 

Selain itu, mereka belajar tentang cara sokongan rakan sebaya yang positif boleh membawa kepada pemulihan yang lebih baik daripada pengalaman dalam talian yang tidak menyenangkan, yang penting untuk menjadi berdaya tahan.

 

Memandangkan kes serangan dalam talian terus meningkat di negara yang menyasarkan individu dan syarikat, terdapat tindakan untuk meningkatkan celik jenayah siber dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Pusat Tindak Balas Insiden Siber CyberSecurity Malaysia mencatatkan 3,837 insiden setakat Ogos tahun ini, dengan penipuan, pencerobohan dan kod berniat jahat di antara senarai teratas.

 

Syarikat keselamatan siber global Kaspersky juga mendedahkan baru-baru ini bahawa permainan dalam talian yang paling popular untuk kanak-kanak berumur 3-16 tahun yang dieksploitasi penjenayah siber ialah Minecraft, Animal Crossing dan Roblox. - DagangNews.com