KUALA LUMPUR 17 Ogos - Cyberview Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Kamarul Ariffin Abdul Samad sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu yang baharu, berkuat kuasa 14 Ogos 2023.
Seorang pemimpin korporat berpengalaman, Kamarul membawa bersamanya pengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai bidang, di dalam dan di luar Malaysia.
Kamarul berkata, beliau berharap dapat menyumbang kepada kejayaan masa depan Cyberview.
"Saya berbesar hati dengan peluang untuk berkongsi pengalaman saya dengan pasukan sambil kami berusaha untuk mengoperasikan pelan induk Cyberjaya dengan bersungguh-sungguh yang telah dilancarkan pada 2019.
"Walaupun terdapat kemajuan, dan kami melihat hasil daripada pelbagai usaha yang dilakukan untuk menarik FDI berteknologi dan DDI , masih terdapat potensi besar untuk memajukan lagi Cyberjaya.
"Saya juga tidak sabar untuk berhubung dan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, peneraju industri dan agensi kerajaan dalam mendorong aspirasi Malaysia Madani melalui inovasi bersama-sama," katanya.
Sebelum mengambil alih jawatan sebagai CEO Cyberview, Kamarul menghabiskan beberapa tahun bersama Sime Darby Property Bhd dalam pelbagai kapasiti utama, daripada pembangunan perniagaan, perancangan strategik, dan pelaburan korporat kepada unit perniagaan terkemuka.

Dalam jawatan terbaharu sebelum pelantikan ini, beliau adalah Pengurus Besar Sime Darby Property Selatan Sdn Bhd, dan sebelum ini bertanggungjawab untuk projek Lembah Wawasan Malaysia.
Selain itu, ketika bersama SDPB, beliau memperoleh pengalaman antarabangsa yang berharga berkhidmat sebagai ketua pegawai perhubungan strategik di London untuk Battersea Power Station Development Company Ltd, mewakili konsortium Malaysia yang terdiri daripada Sime Darby Property, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam projek pembangunan Stesen Janakuasa Battersea bernilai GBP9.2 bilion.
Dalam peranannya, beliau bertanggungjawab dalam memastikan bahawa pelaburan konsortium dalam salah satu projek penjanaan semula hartanah terbesar di Eropah dilindungi dan mampu menjana pulangan yang diingini.
Di SDPB, beliau turut dilantik sebagai pengarah di lebih 25 syarikat, termasuk syarikat awam berhad, di pelbagai negara dan bidang kuasa, antaranya Malaysia, United Kingdom (UK), Hong Kong, Australia dan Vietnam.
Pada 2012, Kamarul memainkan peranan penting apabila berjaya mendapatkan projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) untuk Sime Darby Property Selatan yang terdiri daripada empat perjanjian konsesi untuk Hab Pendidikan Pagoh dengan nilai pembangunan agregat melebihi RM1 bilion, salah satu daripada projek PFI pendidikan terbesar di Malaysia.
Kamarul memulakan kerjayanya pada 1990 sebagai pegawai operasi di Public Bank sebelum kemudiannya menyertai Sapura.
Ia menyaksikan beliau dalam pelbagai peranan dalam kewangan, pembangunan perniagaan, perniagaan antarabangsa dan pembangunan strategik di seluruh organisasi dengan berkhidmat di Sapura Defence Sdn Bhd, Sapura Technology Berhad dan Uniphone Sdn Bhd termasuk tugasan dua tahun yang berpangkalan di Vietnam untuk projek telefon berbayar di Hanoi dan Ho Chi Minh City.
Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan UEM Group Bhd, bertanggungjawab untuk strategi kumpulan dan pembangunan perniagaan serta pembangunan korporat.
Semasa berkhidmat dengan Zelan Bhd, beliau terlibat dalam pelbagai projek kejuruteraan dan pembinaan di Indonesia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Latar belakang akademik Kamarul termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kepujian dalam Perakaunan dan MBA dalam Pengurusan Kewangan, kedua-duanya diperolehi dari Universiti Hull di UK pada 1997 dan 1998. Beliau juga memiliki Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA. - DagangNews.com








