Kadar pertumbuhan pinjaman RHB Bank dijangka menyusut kepada 4% hingga 5% bagi FY23 - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pertumbuhan pinjaman RHB Bank dijangka menyusut kepada 4% hingga 5% bagi FY23 - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - RHB Bank Berhad memberi bayangan bahawa kadar pertumbuhan pinjaman antara 4% hingga 5% bagi FY23 berbanding 6.9% pada FY22.

 

AmInvestment Bank Research berkata, walaupun dalam tempoh dua bulan suku pertama 2023 adalah perlahan dari segi pertumbuhan pinjaman runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun momentum untuk pembiayaan telah meningkat pada Mac 2023.

 

"Pengurusan merujuk kepada pertumbuhan perlahan yang berterusan untuk pembiayaan ASB disebabkan dividen yang lebih rendah yang diisytiharkan oleh dana unit amanahnya.

 

"Di Singapura, pertumbuhan pinjaman FY23 dijangka berkurangan daripada 18.7% pada FY22 sejajar dengan kelembapan ekonomi global. 

 

"Untuk FY23F kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman keseluruhan sebanyak 5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan dua lagi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan menaikkan kadar faedah penanda aras daripada 2.75% kepada 3.25%.

 

Katanya, pengurusan telah mengekalkan panduan margin faedah bersih (NIM) FY23 mereka tidak berubah pada 2.22%- 2.25% (FY22: 2.24%).

 

"Namun begitu, kami menjangkakan beberapa risiko menurun kepada panduan ini berdasarkan momentum perlahan yang berterusan pada pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) dan penurunan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan baru-baru ini, menandakan bahawa kenaikan OPR berkemungkinan terhenti dalam tempoh terdekat.

 

"Kelewatan dalam kenaikan kadar berkemungkinan menyaksikan NIM dimampatkan untuk suku kedua 2023," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM6.70 sesaham. - DagangNews.com