KUALA LUMPUR 13 Mei - RHB Research menyemak turun penarafan Sentral REIT kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1 selepas mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 2%.
Semakan itu mengambil kira kadar penghunian pada suku berkenaan yang susut kepada 86% berbanding 90% pada suku keempat 2021.
Ini disebabkan utama di Wisma Technip berpindah sehingga kadar penghunian jatuh kepada paras 50% manakala penyewa lain di QB3-BMW pula menutup operasi.
"Kami berhati-hati dengan risiko penghunian akan menjadi kurang stabil tahun ini, kerana penyewa menilai semula pengaturan kerja mereka dan disebabkan oleh bekalan ruang pejabat yang masuk, meningkatkan persaingan dalam pasaran
"Bagaimanapun, bangunan pejabat utamanya yang terletak di lokasi strategik seperti Platinum Sentral dan Menara Shell, harus kekal berdaya saing," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, pendapatan hartanah bersih (NPI) Sentral REIT pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 susut 2.9% kepada RM30.51 juta daripada RM31.41 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh itu, pendapatan bersih direalisasikan juga susut 1.6% kepada RM20.4 juta daripada RM20.7 juta disebabkan terutamanya hasil realisasi yang lebih rendah setelah ditolak perbelanjaan hartanah dan kos kewangan yang lebih rendah.
Sentral REIT, yang sebelum ini dikenali sebagai MRCB-Quill REIT, turut menyaksikan hasil pada suku pertama itu menurun sebanyak 5.5% kepada RM38.76 juta berbanding RM41.02 juta bagi tempoh sama 2021, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada Wisma Technip, Menara Shell dan QB3-BMW.
Bagaimanapun, RHB Research berkata, pendapatan suku pertama sebanyak RM20.4 juta itu adalah memenuhi jangkaannya.
"Dari sudut positif, pengurusan memberi petunjuk, ia tidak lagi menjangkakan memberi rebat sewa pada FY22 berikutan pemulihan ekonomi yang lebih meluas di negara ini," jelasnya.
Setakat 10.50 pagi ini, harga saham Sentral REIT susut 0.5 sen atau 0.52% kepada 95.5 sen dengan 218,500 saham diniagakan. - DagangNews.com








