KUALA LUMPUR 8 Dis - Kadar pengangguran pada Oktober menurun kepada 4.3%, paras terendah sejak April 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pada bulan tersebut, bilangan penganggur berkurangan sebanyak 3.4% kepada 705,000 berbanding 729,600 pada September.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun bilangan penganggur berada dalam trend penurunan, tetapi secara relatifnya ia masih lebih tinggi berbanding tempoh prapandemik.
Katanya, berbanding tahun sebelumnya, kadar pengangguran juga adalah lebih rendah iaitu 0.4 mata peratus (Oktober 2020: 4.7%) dengan bilangan penganggur berkurang sebanyak 5.8% atau 43,200 (berbanding Oktober 2020: 748,200).
"Sehubungan itu, trend peningkatan penduduk bekerja berterusan pada Oktober lalu apabila mencatatkan pertambahan sebanyak 0.6% bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 65.8," katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada keseluruhan bilangan penganggur pada Oktober, sebanyak 83.6% adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
Kumpulan ini merekodkan penurunan sebanyak 3.5% atau 21,400 kepada 589,500 (September 2021: 611,000).
Pada bulan tersebut, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu semakin menurun kepada 122,700 orang berbanding 380,700 orang pada bulan sebelumnya.
Trend yang sama dilihat apabila dibandingkan dengan bulan yang sama tahun sebelumnya, di mana kategori ini mencatatkan pengurangan sebanyak 61,000 (September 2020: 450,600).
Golongan ini yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja.
Mohd. Uzir berkata, menghampiri tahun ketiga pandemik COVID-19, perjuangan masih berterusan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dilindungi.
Katanya, dengan keadaan ekonomi yang terkesan, pasaran buruh turut tidak terkecuali dalam berdepan dengan ketidaktentuan sepanjang tempoh tersebut, di mana terdapat golongan yang telah dapat mengadaptasikan norma baharu sementara sebahagiannya lagi masih berusaha mencari jalan untuk terus kekal dalam pasaran.
"Dalam hal ini, intervensi kerajaan secara aktif dilihat telah memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang terjejas.
"Di samping itu, melalui Bajet 2022 yang turut memberi tumpuan terhadap pemulihan pasaran buruh, antara lainnya dengan mengembalikan keupayaan perniagaan, menjana dan mengekalkan pekerjaan serta meningkatkan perlindungan sosial, dijangka akan dapat menyokong perniagaan begitu juga dengan golongan pekerja, sekali gus mempercepatkan pemulihan pasaran buruh," katanya.
Beliau berkata, prospek ekonomi yang lebih baik juga dijangka pada bulan-bulan akan datang yang ditunjukkan oleh pertumbuhan indeks pelopor (IP) yang lebih kukuh berbanding bulan sebelumnya. - Dagangnews.com








