Juruterbang, kru kabin AirAsia X terjejas pandemik COVID-19 dipanggil semula bertugas menjelang Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

Juruterbang, kru kabin AirAsia X terjejas pandemik COVID-19 dipanggil semula bertugas menjelang Disember 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Dalam usahanya untuk kembali 'terbang tinggi', Kumpulan AirAsia (AAX) komited untuk memanggil semula semua juruterbang dan kru kabin yang terkesan dengan pandemik COVID-19 akan berpeluang kembali bertugas menjelang bulan Disember tahun ini. 

 

Selepas pandemik itu, AAX telah mengaktifkan semula seramai 175 juruterbang dan 285 kru kabin termasuk mengambil semula 131 kru kabin yang telah diberhentikan berikutan COVID-19.

 

Selain itu, strategi pelancaran semula AAX terus mencatat momentum kukuh yang mana syarikat penerbangan itu kekal fokus pada pasaran jarak sederhana dalam jangka pendek yang terbukti menerima permintaan paling kukuh. 

 

Hari ini, AAX mengumumkan peningkatan penerbangan Malaysia AirAsia X (D7) kepada 44 penerbangan mingguan merentasi 10 laluan, dan menambah kekerapan penerbangan Thai AirAsia X (XJ) kepada 34 penerbangan mingguan merentasi enam laluan, bermula dalam masa dua bulan akan datang.

 

Baru-baru ini, AAX telah melancarkan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Korea Selatan (Seoul-Incheon) dan India (New Delhi) serta menyambung semula laluan ke Australia (Sydney, Melbourne, Perth), New Zealand (Auckland) dan Jepun (Tokyo-Haneda dan Sapporo), Arab Saudi (Jeddah), dan Taipei bermula bulan November ini. 

 

Thai AirAsia pula telah melancarkan perkhidmatan dari Bangkok ke Jepun (Osaka dan Tokyo-Narita) dan Korea Selatan (Seoul-Incheon), serta bersedia untuk melancarkan laluan terus ke Australia (Melbourne dan Sydney) dan Jepun (Sapporo-Chitose) bermula awal bulan Disember.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAX, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AAX kini kembali dan akan memulakan perkhidmatan ke destinasi jarak sederhana yang paling popular dalam jangka masa pendek, yang terbukti menguntungkan daripada segi sejarah.

 

Beliau berkata, strategi itu memastikan mereka boleh beroperasi pada kekerapan optimum untuk laluan teras bagi mengurangkan kos supaya dapat menawarkan tambang terbaik dalam pasaran untuk para tetamu. 

 

Jelasnya, pada masa sama, ia juga membolehkan mereka memaksimumkan pendapatan untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan itu pada masa hadapan.   

 

“Apa yang paling penting adalah kami boleh mengesahkan bahawa kakitangan yang terpaksa dilepaskan semasa COVID-19 melanda kini telah kembali. Saya telah membuat komitmen ini dan amat berbesar hati kerana dapat memenuhinya dalam masa dua setengah tahun, sejajar dengan pengembangan operasi kami.

 

“Ramai juruterbang dan kru kabin telah kembali berkhidmat, tetapi dalam usaha kami untuk terus berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan perjalanan, juruterbang yang belum berkhidmat dan kru kabin yang telah diberhentikan diberi peluang untuk kembali berkhidmat pada bulan Disember tahun ini. Malah, kami kini sedang melatih semula kumpulan kru kabin ketiga yang diambil semula.

 

“Walaupun jarak sederhana adalah keutamaan buat masa ini, kami turut akan melancarkan destinasi jarak jauh seperti London, Dubai dan Istanbul, yang akan kami umumkan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail pula berkata, pada masa ini mereka beroperasi dengan empat buah pesawat berbadan lebar jenis A330 dan menjangka akan beroperasi dengan sehingga 13 buah pesawat menjelang suku pertama tahun 2023 untuk memenuhi permintaan kukuh dan semakin meningkat bagi penerbangan jarak sederhana dengan nilai terbaik.

 

Beliau berkata, mulai bulan Disember ini, kami akan menambah lebih banyak destinasi dan meningkatkan kekerapan penerbangan kami kepada 53 penerbangan mingguan termasuk penerbangan harian ke destinasi popular seperti Kuala Lumpur ke Seoul (Incheon). 

 

"Ini menandakan bahawa perjalanan udara jarak sederhana semakin pulih dan kami berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini dalam memacu pertumbuhan mampan bagi AAX serta menawarkan nilai dan pilihan yang lebih baik kepada para tetamu.

 

“Kami melihat tempahan pada masa hadapan yang kukuh untuk laluan yang telah dibuka dan kami akan menyambung semula lebih banyak laluan dalam pasaran teras kami seperti Jeddah, Taipei, Tokyo (Haneda) dan Sapporo dalam dua bulan akan datang untuk berikutan permintaan yang semakin meningkat. 

 

"Aliran tempahan pada masa hadapan amat menggalakkan merentas semua metrik utama, dengan faktor muatan tahun-ke-tahun dan tambang purata yang lebih tinggi sehingga suku pertama tahun 2023," katanya.

 

Tambahnya, mereka juga menjangkakan permintaan yang kukuh untuk laluan baharu ke Istanbul, Turki yang akan diumumkan tidak lama lagi dan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airports atas sokongan dan kerjasama mereka. 

 

"Kami tidak sabar untuk terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) tidak lama lagi. Yang penting, Allstars adalah aset terbesar kami dan saya berbesar hati untuk mengalu-alukan mereka kembali, terutamanya juruterbang dan kru kabin kami yang merupakan nadi operasi kami," katanya. - DagangNews.com