KUALA LUMPUR 14 Ogos - Jumlah jawatan pada suku tahun kedua tahun ini meningkat 2.4% kepada 8.83 juta jawatan, berbanding 8.62 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata trajektori positif pasaran buruh di Malaysia berterusan sehingga suku kedua tahun ini, menunjukkan permintaan buruh yang berterusan.
“Dengan peningkatan sebanyak 208,100 jawatan dalam sektor ekonomi, bilangan jawatan telah mencapai 8.83 juta, melebihi bilangan pada suku kedua tahun sebelumnya iaitu 8.62 juta.
“Berikutan ini, trend peningkatan dalam bilangan jawatan diisi dapat dilihat meningkat 2.5% kepada 8.64 juta jawatan dalam suku kedua 2023,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata bilangan kekosongan jawatan mengalami pertumbuhan negatif, menurun 0.9% kepada 189,600 kekosongan daripada 191,300 pada suku kedua 2022.
Dalam tempoh ini, Mohd Uzir berkata kadar jawatan diisi dan kekosongan jawatan masing-masing merekodkan 97.9 % dan 2.1 %, mencerminkan pasaran buruh yang seimbang dan berdaya saing.
Melihat kepada senario jawatan diisi pada suku kedua 2023, beliau berkata semua sektor ekonomi menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun, di mana sektor perlombongan dan pengkuarian menjadi penyumbang utama dengan kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 3.6%, diikuti pembuatan (3.1%) dan pertanian (3%).

“Melihat kepada pecahan jawatan mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar bagi jawatan diisi dengan merekodkan 4.55 juta jawatan, merangkumi 52.7% daripada jumlah jawatan diisi,” katanya.
Malaysia mencatatkan peningkatan pewujudan jawatan yang lebih banyak pada suku tahun ini, dengan sejumlah 31,900 jawatan baharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat berikutan pemulihan ekonomi.
Mengikut kategori kemahiran, DOSM berkata kebanyakan pewujudan jawatan adalah dalam kategori separuh mahir dengan menyumbang 59.6% (19,000 pekerjaan) diikuti kategori mahir dengan 29.4% (9,400 pekerjaan) dan berkemahiran rendah (11%, 3,500 pekerjaan).
“Mengikut pecahan aktiviti ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama bagi pewujudan jawatan dengan 51.6% (16,500 pekerjaan) terutamanya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit (8,500 pekerjaan).
“Sektor pembuatan menyusul dengan 10,100 jawatan baharu (31.5%) dengan subsektor produk elektrik, elektronik, dan optikal menjadi penyumbang terbesar dalam sektor ini dengan 3,500 pewujudan jawatan,” tambahnya.
Secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata permintaan buruh dalam sektor ekonomi pada suku kedua tahun ini terus menunjukkan trend positif walaupun menghadapi risiko kemelesetan global, yang menjurus kepada pertambahan peluang pekerjaan dan mengukuhkan pasaran buruh di Malaysia. - DagangNews.com








