Jualan kenderaan September diunjur meningkat, kekal ‘beli’ saham UMW, BAuto, MBM - MIDF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan kenderaan September diunjur meningkat, kekal ‘beli’ saham UMW, BAuto, MBM - MIDF

Sekadar gambar hiasan. - Sumber Proton

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Berdasarkan data jualan awal oleh pengeluar kenderaan, firma penyelidikan, MIDF Research menjangkakan jumlah jualan industri (TIV) automotif pada September 2021 bakal mencecah antara 42,000 hingga 45,000 unit. 

 

Ini mencerminkan penguncupan 20% hingga 26% berbanding September 2020 ekoran kadar vaksinasi yang lebih perlahan di tempat jualan kenderaan, namun ia meningkat 140% hingga 157% berbanding bulan sebelumnya, menurut penganalisis di MIDF, Hafriz Hezry.

 

Katanya, pengeluar kenderaan bukan tempatan dijangka memulih lebih pantas kerana mereka tidak terlalu bergantung kepada rangkaian penjual domestik memandangkan kadar persetempatan model mereka dan kecekapan memvaksinasi vendor yang lebih rendah. 

 

“Kekal ‘positif’ terhadap sektor automotif. Seperti ditekankan dalam laporan kami sebelum ini, impak ‘lockdown’ ke atas unjuran kami pada 2021 hanya terhad kepada kerugian pengeluaran, sementara permintaan kekal kukuh buat masa ini, dipacu oleh baki pesanan yang utuh. 

 

“Pembukaan semula peruncitan automatik secara serentak dijangka dapat membantu dalam menangani peningkatan jumlah tempahan tertunggak menurut pendapat kami, yang disokong oleh pengecualian cukai hingga akhir tahun, pemindahan wang tunai di bawah program rangsangan fiskal dan persekitaran kadar faedah yang rendah.

 

“Penambahbaikan Dasar Automotif Nasional untuk membuka laluan rendah karbon berpotensi menjadi pemangkin positif jangka panjang,” jelas Hafriz dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Beliau mengekalkan saranan ‘beli’ saham Bermaz Auto Berhad (BAuto), MBM Resources Berhad dan UMW Holdings Berhad yang kekal sebagai pilihan utama firma itu bagi sektor automotif. 

 

Selain daripada berpotensi sebagai saham pemulihan COVID-19, BAuto berkemungkinan menjadi tumpuan pelabur yang didorong oleh pengambilalihan francais Kia dan Peugeot, sekali gus menyumbang kepada penguasaan pasaran lebih besar.

 

Menurut Hafriz, Perodua mencatatkan jualan awal bagi September sebanyak 14,160 unit, meningkat 103% berbanding bulan sebelumnya, sementara jualan Proton melonjak 279% kepada 10,380 unit. - DagangNews.com