KUALA LUMPUR 17 Ogos - Jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2023 meningkat 27.5% kepada 63,676 unit daripada 49,934 unit pada bulan sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Daripada jumlah tersebut, jualan kenderaan penumpang adalah sebanyak 57,939 unit, melonjak 30% berbanding 44,574 unit setahun lalu, manakala jualan kenderaan komersial meningkat 7% kepada 5,737 unit daripada 5,360 unit.
Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jualan melonjak 13% kepada 429,807 unit berbanding 381,680 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, jumlah jualan kenderaan penumpang naik 13.7% kepada 384,600 unit berbanding 338,326 unit pada tempoh sama 2022 dan kenderaan komersial sebanyak 45,207 unit, meningkat 4% daripada 43,354 unit.
"Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Julai 2023 adalah 1.7% lebih tinggi daripada Jun 2023 iaitu pada 62,593 unit.
"TIV meningkat sedikit pada Julai 2023 disebabkan normalisasi rantaian bekalan automotif dan pemenuhan tempahan yang diterima untuk pelancaran model baharu baru-baru ini," kata MAA dalam satu kenyataan media hari ini.
MAA menjangkakan jualan kenderaan pada Ogos lebih tinggi sedikit berbanding Julai 2023 berikutan pengenalan beberapa model baharu serta kempen promosi sempena Hari Kebangsaan oleh beberapa syarikat kereta.
Dari segi jumlah pengeluaran, sebanyak 66,862 kenderaan dikeluarkan pada Julai 2023, meningkat 28% daripada 52,061 unit pada bulan sama tahun lalu.
Katanya, pengeluaran kenderaan penumpang adalah sebanyak 62,558 unit pada bulan dalam tinjauan berbanding 48,002 unit pada Julai tahun lalu manakala pengeluaran kenderaan komersial pada 4,304 unit daripada 4,059 unit sebelumnya.
MAA sebelum ini mengunjurkan TIV bagi tahun ini sebanyak 650,000 unit selepas melakar sejarah dengan 720,658 unit tahun lalu. - DagangNews.com








