Jualan ikan air tawar tarikan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan ikan air tawar tarikan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kanan) bersama Wan Azilawati Wan Mahmood (kiri) bertanyakan sesuatu dengan peniaga ikan sangkar pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Terengganu 2022 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. - Gambar BERNAMA

KUALA NERUS 3 Jun - Jualan pelbagai jenis ikan air tawar  antara tarikan pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu yang diadakan sejak semalam hingga esok, di Kompleks Sukan Negeri di sini.

 

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama, Jabatan Perdana Menteri Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, pengunjung juga dapat membeli ikan seperti ikan baung dan ikan talapia yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran luar melalui Progam Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

 

“Saya sendiri pun teruja melihat pelbagai jenis barangan basah dijual di PJKM di Jelajah AKM Terengganu ini. Malah terdapat juga ikan air tawar dan juga benih ikan dijual yang mana ia tidak terdapat di Jelajah AKM di negeri lain sebelum ini.

 

“Jelajah AKM sebelum ini memang ada barangan basah tetapi stok tidak sebanyak yang dijual di Terengganu. Ini juga penambahbaikan daripada siri-siri jelajah AKM yang kita buat sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama pada Jelajah AKM Terengganu di Kompleks Sukan Negeri hari ini.

 

Beliau berkata, PJKM yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu itu dibuat bagi mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.

 

Katanya, selain itu stok bahan makanan yang dijual pada PJKM di Jelajah AKM juga berdasarkan keperluan dan permintaan rakyat di satu-satu negeri.

 

Jelajah AKM adalah kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.

 

Objektif program berkenaan adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep JAKM dengan lebih jelas, yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. - DagangNews.com