KUALA LUMPUR 21 Feb - Untung bersih Lee Swee Kiat Group Bhd (LSK) melonjak 132% bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) mendorong pendapatan FY22 syarikat meningkat 23.3% kepada RM129 juta daripada RM104.63 juta.
Manakala, pendapatan suku keempat juga meningkat sebanyak 8.4% kepada RM35.35 juta berbanding RM32.62 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Untung bersih FY22 juga melonjak sebanyak 71.83% kepada RM13.03 juta berbanding RM7.59 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan syarikat itu di Bursa Malaysia hari ini, peningkatan tersebut didorong oleh prestasi kukuh menerusi semua segmen jualan domestik iaitu perniagaan-ke-pengguna langsung (B2C), borong, Cuckoo Napure dan lain-lain.
Tambahnya, pertumbuhan tertinggi dalam pendapatan adalah berikutan segmen B2C yang menyumbang peningkatan tahun ke tahun syarikat sebanyak 45.8% atau RM26.2 juta.
Secara keseluruhannya, aktiviti pemasaran agresif kumpulan menghasilkan bahagian pasaran yang lebih baik dan menjana keuntungan untuk FY22.
Selaras dengan prestasi yang lebih baik, Lembaga Pengarah LSK telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3.5 sen mewakili nisbah pembayaran sebanyak 43.3% daripada keuntungan bersihnya untuk FY22.
Mengulas mengenai keputusan kewangan kumpulan, Pengarah Urusan LSK, Datuk Eric Lee berkata, “Kami meningkatkan bahagian pasaran kami dalam pasaran domestik yang mendorong keuntungan kami walaupun kos purata lateks dan harga gas bahan api lebih tinggi.
Dengan set keputusan terkini, kumpulan berada di landasan yang betul dengan trajektorinya didorong pertumbuhan barisan teratas yang kukuh disokong oleh pengembangan volum berterusan dan kewaspadaan dalam pengurusan kos.
“Kami terus melihat sambutan pasaran yang sangat menggalakkan terhadap kerjasama tilam Cuckoo Napure kami yang merupakan tonggak pertumbuhan yang semakin meningkat bagi kumpulan," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau optimis terhadap persekitaran operasi pasaran domestik dan percaya pemulihan berurutan dalam pendapatan boleh dikekalkan berikutan peningkatan dalam sentimen pasaran.
LKS juga telah melabur RM1.1 juta untuk pemasangan panel solar photovoltaic (PV) yang dijangka beroperasi pada suku kedua 2023 sebagai usaha meningkatkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada FY22.
Inisiatif ESG ini dijangka menjana sehingga 25% daripada jumlah penggunaan tenaga kumpulan setiap tahun.
“Kami akan terus mengembangkan perniagaan kami dengan menggunakan bahan bersumberkan mampan di samping mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan teknologi hijau yang cekap dalam operasi kami,” tambahnya. -DagangNews.com








