Jualan BP Plastics pulih secara perlahan dalam 2HFY23 akibat ekonomi global kekal lemah – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan BP Plastics pulih secara perlahan dalam 2HFY23 akibat ekonomi global kekal lemah – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun - Jualan BP Plastics Holding Berhad pulih pada kadar yang perlahan dalam separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) memandangkan ekonomi global kekal lemah, menyebabkan prospek jangka dekatnya kabur, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata sebahagian daripada kesannya diimbangi oleh pengisian semula stok oleh pengguna akhir, peralihannya ke arah produk degan margin lebih tinggi seperti filem regangan premium dan pertanyaan substantif mengenai produknya semasa pameran perdagangan antarabangsa baru-baru ini yang boleh diterjemahkan kepada tempahan baharu pada tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Di samping itu, margin kumpulan terus mengalami tekanan pada 2HFY23 disebabkan peningkatan kos buruh dan tenaga.

 

“Peningkatan kos buruh adalah berikutan pelarasan gaji minimum tahun lepas, ditambah dengan pengurangan jam kerja mingguan maksimum kepada 45 daripada 48 menurut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa Januari 2023.

 

“Sementara itu, impak penuh kenaikan tarif elektrik pada Januari 2023 akan dirasai pada 2HFY23 sekiranya tiada lanjutan kepada program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang tamat pada Jun 2023, berdasarkan maklumat terkini,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Mengulas lanjut mengenai tarif elektrik, firma itu berkata pengguna elektrik ditawarkan pengecualian kepada surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) sebanyak 20 sen/kWj melalui caj langganan 3.7 sen/kWj, namun, tawaran untuk membeli tenaga boleh diperbaharui ini dihadkan pada 30% daripada jumlah penggunaan elektrik.

 

Sementara itu, dua mesin tiupan filemnya berada di landasan betul untuk beroperasi suku ketiga dan keempat tahun kewangan 2023 (3Q-4QFY23) masing-masing, untuk memenuhi permintaan untuk hud regangan dan filem mengecut.

 

Menurut firma itu, kedua-dua mesin filem tiupan itu akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 800 tan sebulan, menjadikan jumlah tahunannya untuk filem regangan dan tiupan kepada kira-kira 148,000 tan.

 

Kenanga Research mengekalkan unjuran dan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM1.23 sesaham.

 

Firma itu menyukai BP Plastics kerana kedudukan kukuhnya dalam pasaran Asia Tenggara yang dijangka kekal berdaya tahan walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta aliran tunai dan kunci kira-kira kukuh, membolehkannya mengharungi penurunan dengan lebih baik.

 

Selain itu, pengembangan kapasiti jangka panjangnya dalam filem regangan premium margin tinggi dan produk filem bertiup membolehkan kumpulan itu memanfaatkan kitaran seterusnya.

 

Setakat pukul 12:19 tengahari ini, saham BP Plastics susut 3 sen atau 2.4% kepada RM1.21 dengan modal pasaran bernilai RM340.7 juta. -DagangNews.com