Jualan alat ganti automotif kukuh, EP Manufacturing kembali catat keuntungan dalam tempoh 6 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan alat ganti automotif kukuh, EP Manufacturing kembali catat keuntungan dalam tempoh 6 tahun

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - EP Manufacturing Bhd (EPMB) kembali mencatatkan keuntungan bersih kepada RM399,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) setelah kerugian enam tahun berturut-turut.

 

Menurut kenyataan syarikat hari ini, hasil kewangan tersebut dipacu oleh jualan alat ganti automotif yang lebih kukuh berikutan pengeluar kereta giat memenuhi pesanan tertunggak mereka yang tinggi.

 

Ini turut meningkatkan pendapatan EPMB sebanyak 49.6% tahun ke tahun (YoY), melepasi paras RM500 juta buat kali pertama sejak 2015, tambahnya.

 

Sementara itu, pendapatan syarikat itu meningkat 50.7% kepada RM186.7 juta dalam suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM126.6 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu juga kembali mencatat untung bersih RM2.3 juta berbanding kerugian bersih RM560,000 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 (3QFY22).

 

Menurutnya, hasil tersebut disebabkan pembayaran balik kos perkakas oleh pelanggan dan peningkatan jumlah jualan apabila pembuat kereta meningkatkan penghantaran kenderaan yang ditempah ketika tempoh pengecualian cukai jualan.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Lim Sim Yee berkata prestasi kewangan yang positif pada tahun dijangka akan memacu kewangan syarikat pada tahun ini.

 

 

Lim Sim Yee
Lim Sim Yee

 

 

“Kami optimis bahawa strategi perniagaan yang dilaksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini akan memastikan syarikat berada pada trajektori pertumbuhan yang positif. 

 

Walaupun industri automotif domestik dijangka menyaksikan jualan lebih perlahan pada 2023, pengenalan model kereta baharu oleh pengeluar terkemuka, termasuk kenderaan elektrik, akan membantu menarik dan mengekalkan minat pembelian dalam kalangan pengguna. 

 

EPMB akan memberi tumpuan kepada peluang pasaran baharu yang boleh menyumbang secara positif kepada hasil kewangan tahun ini,” ujar beliau. -DagangNews.com