KUALA LUMPUR 3 Julai - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamad berkata, pihaknya akan membuat semakan serta mendapatkan maklumat lengkap berhubung isu membabitkan beberapa setiausaha akhbar menteri tidak menerima gaji mereka sehingga kini.
Menurut Zulkapli, ia bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil berhubung isu itu.
"Kita akan semak dan mendapatkan maklumat lengkap supaya tindakan segera diambil," katanya.
Sementara itu menurut satu sumber, isu mengenai setiausaha akhbar menteri tidak menerima bayaran gaji tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana pegawai terbabit dalam mesyuarat terbaharu mereka, kira-kira dua minggu lalu.
Dalam mesyuarat berkenaan, dakwanya, hanya isu berkaitan pembayaran gaji rendah sahaja dibangkitkan ketika itu.
"Beberapa setiausaha akhbar terkejut dengan laporan sebuah portal mengenai perkara itu kerana perkara tidak kedengaran sama ada di luar atau dibincangkan di dalam mesyuarat.
Dalam mesyuarat terbaru itu, ada pegawai yang membangkitkan mengenai bayaran gaji tetapi ia bukanlah mengenai tiada langsung penerimaan gaji oleh setiausaha akhbar," katanya.
Sebuah portal berita melaporkan mengenai setiausaha akhbar beberapa menteri mengadu belum dibayar gaji, walaupun mereka bertugas sejak beberapa bulan lalu.
Tiga setiausaha akhbar yang enggan dinamakan memberitahu portal berita itu, mereka tidak dapat meneruskan tugas tanpa gaji dan mungkin akan berhenti. Seorang daripadanya mendakwa teringin ke bidang korporat yang menawarkan gaji lebih tinggi, tetapi tidak mahu ‘meninggalkan menteri separuh jalan’.
Menurut sumber itu lagi, sekiranya benar dakwaan laporan portal berita itu, ia sepatutnya dibangkitkan menerusi saluran yang betul dan bukannya dihebahkan untuk pengetahuan umum, lapor Buletin TV3.
"Isu sebegini sepatutnya dibangkitkan dalam mesyuarat setiausaha akhbar dan diselesaikan secara dalaman. Pelantikan mereka secara profesional dan perlu untuk semua pihak berkhidmat secara profesional," dakwanya.
Mengikut beberapa laporan lain, proses pembayaran itu sedang dilaksanakan dan dijangka mengambil masa disebabkan prosedur yang sudah ditetapkan kerajaan. Ini berlaku, selepas setiausaha akhbar terbabit didakwa menolak tawaran gaji lantai yang dikemukakan. - DagangNews.com








