Johor Port sumbang peralatan sekolah, bantuan kewangan kepada 100 pelajar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Port sumbang peralatan sekolah, bantuan kewangan kepada 100 pelajar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Ahli Kumpulan MMC, Johor Port Bhd meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program Jom Ke Sekolah dengan menyumbang peralatan sekolah dan bantuan kewangan kepada 100 pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana dan SK Kampung Pasir Putih.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, program ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan isi rumah yang berpendapatan rendah, yang mana bantuan tersebut dapat membantu para pelajar memulakan sesi akademik baharu dengan yakin.

 

Beliau juga berharap agar sumbangan yang diberikan melalui program ini dapat membantu mereka untuk terus berjaya.

 

"Kami memahami keperluan persekolahan adalah penting bukan sahaja dapat membantu mereka kekal di sekolah, tetapi dapat menambahbaik prestasi pembelajaran mereka.

 

"Sumbangan yang diberikan ini dapat membantu menambah baik kualiti kehidupan anak muda dan mengukuhkan lagi hubungan baik dengan masyarakat," katanya sambil menekankan bahawa inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat memastikan para pelajar kurang berkemampuan tidak ketinggalan.

 

Inisiatif CSR yang dijalankan oleh ini turut membantu masyarakat khususnya yang berhampiran Johor Port, demi kelangsungan pertumbuhan sosio-ekonomi setempat.

 

Johor Port sentiasa membantu para pelajar kurang berkemampuan dan setakat ini telah menyumbangkan kepada banyak sekolah terutamanya di sekitar Pasir Gudang sejak 2018. 

 

 

johor port

 

 

Sebagai sebuah organisasi yang prihatin, Johor Port kekal komited untuk meneruskan tanggungjawab sosial ini pada masa akan datang. - DagangNews.com