Johor Plantations salur bantuan pasca banjir berjumlah RM50,000 kepada komuniti terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Plantations salur bantuan pasca banjir berjumlah RM50,000 kepada komuniti terjejas

Sumbangan diserahkan dalam majlis berbuka puasa anjuran Johor Plantations semalam di Persatuan Kebajikan Darul Hanan (Darul Hanan) di Pasir Gudang.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

JOHOR BAHRU 17 April - Johor Plantations Berhad, anak syarikat Kulim (Malaysia) Berhad, telah menyampaikan bantuan pasca banjir untuk komuniti terjejas banjir di Johor dengan sumbangan sebanyak RM50,000.

 

Bantuan tersebut diserahkan kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WanCorp) bagi Tabung Sumbangan Pasca Banjir Negeri Johor.

 

WanCorp memainkan peranan penting dalam menggerakkan sumbernya untuk membantu rakyat Johor yang terjejas dengan membantu mengurangkan kesan banjir melalui operasi menyelamat dan menghantar bantuan, penyediaan bekalan makanan, tempat tinggal dan keperluan asas bagi mangsa.

 

Wancorp kini memberi perhatian kepada aktiviti bantuan pasca banjir melalui usaha pembersihan, membaikpulih rumah, dan pembaikan infrastruktur awam termasuk sekolah dan pusat komuniti.

 

Pengarah Urusan Johor Plantations, Mohd Faris Adli Shukery berkata kumpulan itu menyasarkan untuk meringankan beban keluarga yang terjejas dan memberikan sokongan sementara pulih daripada kesan banjir.

 

“Kami berharap sumbangan ini akan memberi kesan yang bermakna dalam membantu mereka untuk bangkit semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penyerahan sumbangan berlangsung semasa majlis berbuka puasa anjuran Johor Plantations semalam di Persatuan Kebajikan Darul Hanan (Darul Hanan), Pasir Gudang, yang merupakan sebuah pusat jagaan anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.

 

Majlis turut menyaksikan kumpulan tersebut menyumbang RM5,000 untuk membiayai aktiviti Darul Hanan dan memberikan duit raya kepada anak-anak di pusat kebajikan tersebut.

 

 

(Dari kiri ke kanan) Naib Pengerusi, Persatuan Kebajikan Darul Hanan, Hjh Mariana Sidi; Pengarah Urusan Johor Plantations, Mohd Faris Adli Shukery; Ketua Pegawai Operasi WanCorp, Bahrin Bakri dan Setiausaha Persatuan Kebajikan Darul Hanan, Suhailah Omar.
(Dari kiri ke kanan) Naib Pengerusi, Persatuan Kebajikan Darul Hanan, Hjh Mariana Sidi; Pengarah Urusan Johor Plantations, Mohd Faris Adli Shukery; Ketua Pegawai Operasi WanCorp, Bahrin Bakri dan Setiausaha Persatuan Kebajikan Darul Hanan, Suhailah Omar.

 

 

Selain bantuan kewangan, kumpulan itu juga menyediakan tiga buah bot untuk digunakan bagi operasi menyelamat dan bantuan semasa banjir bagi unit operasinya di kawasan yang sering dilanda banjir teruk.

 

Tiga ladang tersebut adalah Ladang Pasir Panjang di Kota Tinggi, Ladang Mutiara di Kluang dan Ladang Mungka di Segamat, manakala dua bot lagi akan diserahkan kepada Ladang Palong di Segamat dan Ladang Sg. Tawing di Kluang tidak lama lagi.

 

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan untuk memberi kembali kepada masyarakat dan meningkatkan taraf hidup komuniti sekitar serta pekerjanya di kawasan yang terdedah kepada banjir. -DagangNews.com