Jemilah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu Roche Holding AG | DagangNews Skip to main content

Jemilah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu Roche Holding AG

KUALA LUMPUR 18 Mac - Bekas Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu Roche Holding AG iaitu syarikat farmaseutikal terkemuka dunia dari Switzerland.

 

Roche dalam satu kenyataan berkata, pelantikan yang berkuat kuasa pada 15 Mac 2022 selama setahun itu dibuat menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu yang berlangsung di Basel.

 

Menerusi pelantikan itu, beliau bersama kepemimpinan yang dipilih semasa mesyuarat itu akan bertanggungjawab dalam meneruskan perkembangan syarikat itu pada masa akan datang.

 

Jemilah Mahmood juga yang juga pengasas Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) adalah pemenang ASEAN Prize 2019 dan merupakan rakyat Malaysia pertama menerima anugerah yang mula diperkenalkan pada 2018.

 

Beliau juga pernah berkhidmat selaku Pro Canselor Heriot-Watt University Malaysia (HWUM), Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health dan Felo Kanan Adrienne-Arsht-Rockefeller Foundation Resilience Center.

 

Selain itu, Jemilah juga pernah menjadi Ketua Sekreteriat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di New York, mengetuai cawangan kemanusiaan United National Population Fund, Ketua Cawangan Tindak Balas Kemanusiaan di UNFPA dan merupakan antara 16 ahli yang dilantik bekas Setiausaha Agung Persatuan Bang-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon sebagai kumpulan penasihat Central Emergency Response Fund.

 

Antara mereka yang dilantik ke dalam lembaga pengarah itu untuk tempoh setahun termasuk Andre Hoffmann, Julie Brown, Dr. Jorg Duschmale, Dr. Patrick Frost, Anita Hauser, Professor Dr. Richard P. Lifton, Bernard Poussot, Dr. Severin Schwan, Dr. Claudia Süssmuth Dyckerhoff.

 

Selain itu, empat lagi ahli lembaga turut dilantik semula ke dalam Jawatankuasa Imbuhan untuk tempoh setahun termasuk Pengerusi Roche, Dr. Christoph Franz, Hoffmann,  P. Lifton dan Poussot.

 

Franz berkata, pihaknya sekali lagi berjaya membangunkan dan menghasilkan inovasi diagnostik dan terapi terbaharu untuk menangani penyakit berbahaya, khususnya COVID-19 untuk kegunaan seluruh dunia. 

 

"Walaupun masih berhadapan dengan pandemik, namun 2021 merupakan tahun yang baik untuk Roche dan kami berbangga dengan sumbangan kami kepada dunia dalam melawan pandemik ini.

 

"Pada masa sama kami berbangga kerana berjaya membuat kemajuan besar terhadap produk kami merentasi beberapa bidang termasuk onkologi, kehilangan penglihatan dan penyakit saraf," katanya. - DagangNews.com