KUALA NERUS 4 Jun - Seorang pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Terengganu tidak menyangka beliau berjaya mendapat pekerjaan tidak sampai setengah jam selepas mencuba nasib di Karnival Kerjaya Jamin Kerja hari ini.
Alias Mustaffa, 28, berkata, dia ditawarkan kerja oleh Fmes Sdn Bhd yang berpangkalan di Klang, Selangor dengan gaji permulaan RM1,500.
"Sekarang saya bekerja di sebuah kedai makan dengan gaji harian sebanyak RM50. Tak sangka saya kedatangan saya ke Jelajahi AKM adalah 'langkah kanan' hari ini.
"Setelah setahun cari pekerjaan yang sesuai, hari ni baru ada rezeki berkat doa keluarga dan hasil penganjuran program ini," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Anak ke-10 daripada 11 beradik itu berkata, dia memiliki sijil dari sebuah kolej di Kuala Terengganu namun tidak berminat menyambung pelajaran seperti rakan-rakan yang lain.
"Hari ini berakhirlah penantian saya mendapatkan kerja yang diminati dalam bidang kemahiran mesin yang saya pelajari. Walaupun terpaksa berhijrah keluar dari Terengganu, saya tidak kisah kerana yang penting mahukan pengalaman demi masa depan yang lebih cerah," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Abdullah Syukri Hasan, 22, berkata, dia ditawarkan kerja oleh Perkem Serumpun (M) Sdn Bhd sebagai pemasang meter untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Lulusan Diploma Elektronik Komputer dari Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun itu berkata, dia sangat bersyukur dan teruja dengan tawaran kerja yang diperolehi hari ini.
"Saya anak bongsu dari tujuh beradik, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Berita ini sangat mengembirakan ibu bapa saya kerana akhirnya saya dapat pekerjaan yang diidamkan selama ini.

"Peluang yang ada tidak akan saya sia-siakan dan semoga lebih ramai pemburu kerja akan dapat tawaran yang sesuai di Jelajah AKM kali ini kerana ini platform tepat penghubung antara kami dan majikan," katanya yang akan berpindah ke Shah Alam, Selangor untuk bekerja nanti.
Dia turut berkesempatan hadir ke reruai Kementerian Sumber Manusia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai faedah atau keistimewaan yang bakal dinikmati setelah bergelar pekerja di syarikat itu nanti.

"Terima kasih banyak kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana menganjurkan Jelajah AKM di Terengganu. Ia meninggalkan memori yang sangat manis untuk saya," katanya.
Menurut data Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso), seramai 454 individu telah ditawarkan pekerjaan hasil temuduga dengan 89 syarikat yang menyertai Jelajah AKM di Terengganu kali ini. - DagangNews.com








