Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu dedahkan pengunjung peluang pendidikan, kerjaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu dedahkan pengunjung peluang pendidikan, kerjaya

KUALA TERENGGANU 31 Mei - Selain pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat, pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Terengganu dari 2 hingga 4 Jun ini, akan didedahkan mengenai peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, bertepatan dengan tema kali ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu’,  pelbagai institusi pendidikan dari seluruh negara akan ‘berkampung’ di Terengganu bagi mempromosikan mengenai kepentingan pendidikan dalam meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan rakyat.

 

“Kita (Kerajaan Negeri Terengganu) harap karnival seperti ini akan dapat menyuntik semangat masyarakat, bukan hanya memahami aspirasi kerajaan menjadikan kita sebagai satu keluarga besar tetapi dalam masa sama untuk memperturunkan kepada semua peringkat tentang kepentingan pendidikan.

 

“Dengan tema pendidikan ini, ia kita anggap sebagai satu pengiktirafan kepada negeri ini. Kita tahu Terengganu merupakan antara negeri yang cemerlang dari segi akademik, contohnya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),  kita (Terengganu) sudah empat tahun berturut-turut terbaik di peringkat kebangsaan.

 

"Jadi diharapkan dengan adanya program seperti ini, kemampuan atau keupayaan pendidikan anak-anak negeri Terengganu akan terbuka luas ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam temu bual Bicarawara Sempena Jelajah AKM Negeri Terengganu bersama Terengganu FM hari ini.

 

Dalam pada itu Satiful Bahri berkata, pengunjung terutama golongan muda akan turut berpeluang ‘mengintai’ peluang pekerjaan melalui karnival kerjaya yang akan diadakan sepanjang program Jelajah AKM kali ini.

 

Katanya, ia juga bertepatan dengan situasi semasa apabila penularan COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi sekali gus menjejaskan pendapatan ramai pihak termasuk golongan muda.

 

“Ramai daripada mereka (orang muda) yang ada kelulusan (siswazah) dan sijil kemahiran tetapi tidak tahu ke mana  hendak menyambung kerjaya. Jadi melalui karnival ini, mereka boleh membuat pilihan dan mendapatkan maklumat tentang ruang-ruang kerjaya mereka untuk masa akan datang,” katanya.

 

Program Jelajah AKM yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, pada 2 hingga 4 Jun ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.

 

Objektif program adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep AKM dengan lebih jelas, yang menitikberatkan ‘keterangkuman’, ‘kebersamaan’ dan ‘kesyukuran’, Bernama melaporkan.

 

Pada penganjuran kali ini, Kementerian Pendidikan dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pengisian program dengan fokus utama 'Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu'. - DagangNews.com