Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia penting untuk hebahan manifestasi usaha berterusan kerajaan - PM | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia penting untuk hebahan manifestasi usaha berterusan kerajaan - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia merupakan medium penting dalam menghebahkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara. 

 

Beliau berkata, keputusan kerajaan mewujudkan 1,800 komuniti Keluarga Malaysia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen membolehkan penyampaian maklumat kerajaan yang berkesan serta memastikan pihak kerajaan sentiasa cakna dengan permasalahan Keluarga Malaysia. 

 

Beliau berharap Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia itu akan memberi nilai tambah baharu yang akan mendasari setiap usaha ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan ke arah lebih baik.

 

Perdana Menteri berkata, Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Johor Bharu yang bermula sejak 3 Mac lalu telah merekodkan hasil jualan usahawan-usahawan sebanyak RM186,191.00 secara keseluruhan.

 

"Jualan tersebut dihasilkan melalui enam booth jualan Keluarga Malaysia yang mengambil bahagian bernilai RM49,110.00. 

 

"Bagi segmen Jualan Usahawan yang melibatkan 150 booth turut merekodkan jualan sebanyak RM130,447.40, segmen jualan Citarasa Keluarga Malaysia yang membabitkan sembilan booth mencatatkan jualan sebanyak RM27,811.00, manakala bagi jualan Food Truck pula mencatat jualan RM22,346.00.

 

BACA JUGA: Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia medan IKS perkasa perniagaan

 

"Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang julung kali ini turut mencatatkan kejayaan apabila sasaran untuk RM3 juta untuk padanan perniagaan (Business Matching) merekodkan pencapaian RM5.26 juta dan jumlah ini melepasi sasaran yang diunjurkan. Tahniah buat Keluarga Malaysia di Johor," katanya.

 

pm

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Dataran Angsana, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata,menerusi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, kementerian-kementerian melalui agensi masing-masing disaran melakukanpenglibatan (engagement) seperti menyelesaikan isu-isu yang tertangguh di peringkat negeri sebulan sebelum hari jelajah yang dirancang.

 

Beliau berkata, hasil atau pencapaiannya kemudian dinyatakan semasa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang dijadualkan di negeri berkenaan. - DagangNews.com