Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah: Usahawan IKS tidak lepaskan peluang daftar aplikasi eDesa | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah: Usahawan IKS tidak lepaskan peluang daftar aplikasi eDesa

Fadhilah Azmi menunjukkan aplikasi eDesa yang dibangunkan khusus bagi meningkatkan ekonomi peniaga IKS di negara ini.
Oleh MOHAMAD IMAN

ALOR SETAR 2 Sept - Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tidak melepaskan peluang mendaftar dengan aplikasi eDesa sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

 

Sehingga kini, seramai 1,000 usahawan desa telah berdaftar dengan aplikasi eDesa tersebut yang dibangunkan khusus bagi meningkatkan ekonomi peniaga IKS di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif DZ Media, Fadhilah Azmi berkata, pelancaran aplikasi yang turut mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu pada 21 Februari 2022 menerima sambutan amat memberangsangkan.

 

Katanya, bersempena sambutan Jelajah AKM Kedah dan bulan kemerdekaan ini, pihaknya turut menawarkan beberapa promosi menarik antaranya seperti pemberian baucar digital kepada mana-mana usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang menyertai aplikasi eDesa ini.

 

“Selain itu, kita turut menawarkan sebanyak 10,000 penghantaran secara percuma kepada orang ramai bersempena dengan Jelajah AKM Kedah,” katanya.

 

eDesa dibangunkan Fadhilah bersama suaminya, Saiful Zaharin Zakariya yang memberi fokus jualan produk dan perkhidmatan IKS termasuk pertanian, hasil laut, makanan, inap desa, barang mentah dan buah-buahan.

 

Platform eDesa tersebut juga turut membuka peluang pekerjaan baharu kepada kumpulan penghantar makan serta penghantar lain.

 

 

AKM

 

 

Dalam pada itu, Fadhilah berkata, aplikasi berkenaan perlu disokong orang ramai termasuk golongan usahawan desa.

 

Katanya, aplikasi tersebut dibangunkan sendiri anak tempatan khususnya bagi membantu para peniaga IKS dan usahawan kecil.

 

“Hanya produk IKS di Malaysia sahaja dibenar bersama dengan aplikasi eDesa ini dan mereka juga perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya.

 

 

AKM

 

 

Tambahnya, bersempena Jelajah AKM Kedah, golongan usahawan IKS juga disaran untuk mendaftar dengan aplikasi eDesa bagi memudahkan pasaran produk mereka.

 

“Disamping itu, mereka juga bakal memperolehi pelbagai tawaran disediakan. Saya menyeru mana-mana peniaga kecil atau IKS di luar sana dapat menggunakan peluang sempena AKM ini untuk bersama-sama kami menerusi platform eDesa,” katanya. - DagangNews.com