Jelajah AKM Kelantan : Bas perantara percuma di empat lokasi mulai Jumaat | DagangNews Skip to main content

Jelajah AKM Kelantan : Bas perantara percuma di empat lokasi mulai Jumaat

KOTA BHARU 21 Julai - Kerajaan Kelantan akan menyediakan perkhidmatan  bas  perantara secara percuma kepada orang ramai bagi memudahkan mereka berkunjung ke program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, mulai Jumaat hingga Ahad (22-24 Julai 2022).

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan  (Pengurusan) Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata perkhidmatan bas itu ditempatkan di empat lokasi iaitu Pejabat Kebudayaan Kelantan, Tanjung Chat, Masjid Kubang Kerian, RTC Tunjong dan Lembah Sireh bermula 9 pagi hingga 9 malam.

 

“Perkhidmatan ini disediakan bagi memudahkan orang ramai datang ke AKM Kelantan,” katanya ketika ditemu bual Bernama Radio.

 

Jelajah AKM Kelantan yang dijadual berlangsung 22 hingga 24 Julai ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, gerai pameran agensi dan kementerian, persembahan tradisional, bekwoh (kenduri), persembahan kebudayaan dan pertandingan Muay Thai.

 

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap penyelaras AKM Kelantan Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata seramai 50,000 pengunjung dijangka menghadiri siri keenam jelajah itu.

 

 

Antara pengisian program yang akan diadakan ialah Wacana Ulama Nusantara membabitkan ulama terkenal dari Malaysia, Indonesia dan Thailand selain persembahan Muay Thai Antarabangsa.

 

BERITA BERKAITAN: Jelajah AKM Kelantan tawar hampir 4,000 peluang kerja

 

 

AKM

 

 

Jelajah AKM sebelum ini telah diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Terengganu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada Keluarga Malaysia.

 

Bagi edisi ke-5 di peringkat negeri Perak yang berakhir petang ini, ia dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung sejak Jumaat lalu. - DagangNews.com