Izzaddin Idris berundur daripada Axiata, Hans Wijayasuriya dan Vivek Sood dilantik sebagai pemangku CEO berkuat kuasa 1 Jun  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Izzaddin Idris berundur daripada Axiata, Hans Wijayasuriya dan Vivek Sood dilantik sebagai pemangku CEO berkuat kuasa 1 Jun 

Datuk Izzaddin Idris
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Izzaddin Idris akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 31 Mei 2022.

 

Peletakan jawatan itu adalah berdasarkan pemberhentian bersama kontrak perkhidmatannya antara beliau dan Axiata.

 

Terdapat laporan media petang ini, pengunduran beliau berlaku akibat keengganannya menerima perancangan kerajaan untuk melancarkan 5G menerusi Digital Nasional Bhd. (DNB), meskipun Axiata merupakan syarikat milik kerajaan (GLC).

 

Susulan itu, Lembaga Pengarah Axiata melantik Dr. Hans Wijayasuria yang merupakan CEO Perniagaan Telekomunikasi dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan bersama Vivek Sood, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sebagai pemangku bersama sementara CEO Kumpulan berkuat kuasa 1 Jun 2022.

 

 

Axiata
Dr. Hans Wijayasuria (kiri) dan Vivek Sood dilantik sebagai pemangku bersama sementara CEO Kumpulan.

 

 

Kedua-duanya akan mengekalkan jawatan dan portfolio masing-masing, memandangkan Lembaga Pengarah tidak menjangkakan untuk membuat sebarang perubahan struktur atau tambahan kepimpinan kanan dalam tempoh terdekat.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan merakamkan penghargaan kepada Izzaddin atas kebijaksanaan, kepimpinan dan sumbangan beliau dalam mengemudi kumpulan sejak 2 tahun lalu.

 

Katanya, beliau mengambil alih jawatan tersebut pada 1 Januari 2021 pada ketika krisis COVID-19 sedang memuncak, selepas berkhidmat sebagai Timbalan CEO Kumpulan sejak Januari 2020.

 

Sepanjang tempoh itu, Izzaddin memainkan peranan penting dalam membentuk tindak balas strategik kumpulan bagi menjamin kestabilan dan kesinambungan perniagaan dalam menghadapi cabaran yang sukar dan tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kebanyakan aspek operasi.

 

"Setelah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah Axiata sejak November 2016, beliau gigih dalam menterjemahkan Visi Axiata 5.0 menjadi kenyataan.

 

"Bahkan beliau turut mengumpulkan pasukan, membina budaya moden, tangkas dan digital Axiata untuk menyampaikan beberapa pencapaian penting yang telah meletakkan kumpulan pada trajektori yang kukuh untuk menguasai pertumbuhan baharu untuk masa depan yang mampan," katanya.

 

Shahril Ridza berkata, Lembaga Pengarah memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa Axiata sentiasa mempunyai budaya perancangan penggantian yang kukuh dan komited ke arah memastikan peralihan yang lancar bagi mengekalkan momentum yang dicapai setakat ini dengan Visi Axiata 5.0.

 

Mengenai pelantikan Hans dan Vivek, jelasnya, kumpulan memiliki 2 pemangku yang mengetahui dengan mendalam perniagaan Axiata. 

 

"Mereka juga berpegang teguh dalam budaya Axiata dan sangat komited terhadap kejayaan usaha niaga kita," tegasnya. - DagangNews.com