Izaddeen Daud dilantik CEO Boustead berkuat kuasa 1 Disember 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Izaddeen Daud dilantik CEO Boustead berkuat kuasa 1 Disember 2022

Izaddeen Daud

KUALA LUMPUR 30 Nov - Boustead Holdings Bhd. melantik Izaddeen Daud sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Disember 2022 bagi menggantikan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly selepas menerajui kumpulan itu selama dua tahun.

 

Pelantikan itu adalah selaras dengan Program Penggantian Kepimpinan Kanan Kumpulan Boustead bagi meneruskan kesinambungan pasukan kepimpinan.

 

Ia akan menyaksikan kumpulan meneruskan rancangannya di bawah visi 'Reinventing Boustead', yang dilancarkan pada 2020.

 

Pengerusi Boustead, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Lembaga Pengarah telah bersetuju untuk melantik Izaddeen, yang mempunyai pengalaman luas dan rekod prestasi cemerlang dalam sektor korporat.

 

"Beliau mendapat sokongan penuh Lembaga Pengarah untuk memimpin kumpulan dalam mengukuhkan perniagaan teras sedia ada dan membangunkan usaha niaga baharu yang akan meningkatkan lagi nilai pemegang saham dan membawa Boustead ke tahap baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sepanjang tempoh Mohammed Shazalli semasa Izaddeen menjadi timbalannya, kumpulan telah melihat kemajuan positif yang ketara dan melindungi kepentingan pemegang saham.

 

Ia mencatat beberapa kejayaan terutamanya kumpulan kembali mencatat untung bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 selepas kerugian tiga tahun berturut-turut. 

 

Boustead juga mempunyai tujuh suku tahun berturut-turut mencatat keuntungan selepas cukai di bawah pasukan kepimpinannya.

 

Sebelum dilantik ke jawatan CEO, Izaddeen telah memegang beberapa peranan dalam kumpulan termasuk Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan Kumpulan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Properties Bhd.

 

Beliau juga kini menganggotai Lembaga Pengarah syarikat tersenarai awam, termasuk Lembaga Pengarah syarikat penerima pelaburan Boustead Plantations Bhd., Pharmaniaga Bhd. dan Boustead Heavy Industries Corp. Bhd. - DagangNews.com