KUALA LUMPUR 2 Dis - ITMAX System Bhd. yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia telah menetapkan harga institusi dan harga tawaran awam permulaan (IPO) runcit akhir pada RM1.07 sesaham.
Harga itu ditetapkan selepas kumpulan menyelesaian proses 'book-building di bawah tawaran institusi pada 1 Disember, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat yang terlibat terutamanya dalam pembekalan dan pemasangan serta penyediaan sistem rangkaian ruang awam itu berhasrat untuk mengumpul dana sebanyak RM342.4 juta melalui IPO.
Berdasarkan prospektus ITMAX yang dilancarkan 25 November lalu, IPO kumpulan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 190.55 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 129.45 juta saham sedia ada.
ITMAX memperuntukkan 41.7% daripada hasil yang diperoleh daripada terbitan awam untuk pengembangan aplikasi bandar pintarnya, 6.1% dan 9.8% dianggarkan untuk pengembangan keupayaan penyelidikan dan pembangunannya dan pengembangan ke pasaran perusahaan masing-masing.
Sebanyak 19.4% lagi telah diperuntukkan untuk pengembangan infrastruktur rangkaian dan telekomunikasi, 14.3% untuk modal kerja dan 3.9% untuk pembayaran balik pinjaman manakala baki hasil adalah untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan kira-kira 1.03 bilion saham dan harga RM1.07 sesaham, permodalan pasaran mencapai kira-kira RM1.1 bilion.
Maybank Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin urusan dan penaja jamin bersama untuk IPO manakala CIMB Investment Bank ialah penaja jamin bersama dan AmInvestment Bank ialah penaja jamin bersama untuk terbitan itu. - DagangNews.com








