Isu seleweng dana: BoD baharu Caely sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa | DagangNews Skip to main content

Isu seleweng dana: BoD baharu Caely sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa

Antara barisan lembaga pengarah kumpulan baharu Caely bergambar selepas mengadakan sidang akhbar di Petaling Jaya pada 21 Oktober 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 21 Okt - Seramai tujuh lembaga pengarah kumpulan Caely Holdings Bhd (Caely) baharu akan memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan berhubung dakwaan penyelewengan sebanyak RM30.55 juta daripada dana unitnya.

 

Pengerusi Eksekutif Caely, Ng Keok Chai berkata, lembaga pengarah kumpulan baharu akan melakukan yang terbaik bagi faedah syarikat dan pemegang sahamnya.

 

"Selain itu, Virdos Lima Consultancy Sdn Bhd akan meneruskan siasatan mereka dengan sokongan daripada lembaga pengarah kumpulan  baharu termasuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan, serta relevan untuk siasatan mereka sebaik mungkin.

 

"Sekali lagi, kami tidak akan membiarkan sebarang masalah timbul dan siasatan penuh dapat dijalankan hingga selesai," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Caely, Chong Seng Ming; Pengarah Eksekutif, Kenny Khow Chuan Wah; Pengarah Eksekutif, Leong Seng Wui dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Datuk Kang Chez Chiang.

 

Terdahulu, Caely Holdings Bhd memfailkan saman terhadap pengasas dan bekas pengarah eksekutifnya Datin Fong Nyok Yoon, suaminya dan bekas pengarah urusan Datuk Chuah Chin Lai, dan 10 bekas pengarahnya berhubung dakwaan penyelewengan sebanyak RM30.55 juta daripada dana unitnya.

 

Defendan lain yang dinamakan dalam saman Caely ialah bekas pengerusi syarikat itu Datuk Wira Ng Chun Hau dan bekas ahli lembaga pengarah Siow Hock Lee, Ooi Say Teik, Hem Kan @ Chan Hong Kee, Ng Boon Kang, Tan Loon Cheang, Lim Chee Pang, Lim Say Leong, Beh Hong Shien dan Gok Ching Hee.

 

Saman itu dibuat hanya sehari selepas Chun Hau mengumumkan bahawa beliau telah memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi terhadap syarikat bermasalah itu dan lembaga baharunya, berhubung kenyataan berunsur fitnah berhubung dana yang diselewengkan RM30.55 juta.

 

 

caely
(Dari kiri) Chong Seng Ming, Kenny Khow Chuan Wah, Ng Keok Chai, Leong Seng Wui dan Datuk Kang Chez Chiang.

 

 

Ng berkata, Caely menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan terhadap lembaga pengarah kumpulan baharu yang dipercayai bersekongkol dengan Fong dan Chuah untuk menutup kesalahan mereka.

 

"Lembaga pengarah kumpulan adalah neutral dan tidak mempunyai niat untuk menutup kesalahan mereka (Fong dan Chuah).  

 

"Mereka (lembaga pengarah kumpulan) berharap dapat memulihkan dana yang diselewengkan yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan perniagaan dan pertumbuhan syarikat demi kepentingan terbaik untuk pihak berkepentingan," katanya.

 

Katanya, Virdos Lima telah memaklumkan kepada lembaga pengarah kumpulan baharu untuk meneruskan siasatan, termasuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan.

 

"Kami percaya bahawa laporan penuh akan disiapkan dalam masa terdekat untuk memberikan pandangan lanjut mengenai saman sivil yang sedang berjalan," katanya. - DagangNews.com