KUALA LUMPUR 20 Dis - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan inisiatif-inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi bajet kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Oktober 2022, yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.
Beliau berkata, ia turut mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun depan.
Katanya, antara inisiatif-inisiatif Bajet 2023 yang diumumkan oleh Anwar ialah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Musim Tengkujuh, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 dan Bantuan Khas Kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.
"Malah, kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, keputusan Kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion, dan memberikan subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat.
"Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat akan terus terbela," katanya. - DagangNews.com








