KUALA LUMPUR 29 Mac - IRIS Corporation Bhd., menandatangani tambahan kontrak bernilai AS$39.7 juta (RM167.61 juta) daripada Pihak Berkuasa Pengenalan Kebangsaan Tanzania (NIDA).
Kontrak itu memerlukan penghantaran kad dan perkhidmatan e-Pengenalan Tanzania (eID) untuk tempoh 18 bulan, yang dijangka menyumbang kepada pendapatan IRIS sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IRIS, Shaiful Subhan berkata, pihaknya berbesar hati dengan kontrak yang dianugerahkan bagi menyampaikan kad dan perkhidmatan eID nasional yang boleh dipercayai dan selamat untuk warga Tanzania.
Katanya, IRIS pertama kali diberikan kontrak oleh NIDA untuk membekalkan kad dan perkhidmatan eID nasional Tanzania pada April 2011.
"Pada asasnya, tambahan kontrak ini mencerminkan keupayaan IRIS dalam industri Pengenalan Dipercayai (ID) di peringkat global dan merupakan bukti keyakinan daripada kerajaan antarabangsa terhadap kepakaran kami," katanya.
Secara dasarnya, IRIS, merupakan syarikat MSC berstatus teknologi inovasi dan pembekal terkemuka produk dan penyelesaian ID.
Melangkah ke masa depan, Shaiful berkata, kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa di samping berusaha ke arah melaksanakan projek sedia ada.
"Projek-projek ini akan memacu pertumbuhan berterusan kami selain mengejar peluang baharu di rantau sasaran kami untuk membantu IRIS memaksimumkan nilai pemegang saham," jelasnya. - DagangNews.com







