Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 April - Syarikat penerbangan Thai AirAsia (TAA) yang dimiliki 45% oleh AirAsia Group Berhad (AAGB) dijangka meraih dana sehingga THB2.76 bilion (Bath Thailand) atau RM358.43 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).
MIDF Research berkata, anggaran tersebut dibuat bersama dengan nilai bon tambahan yang ditukar dalam jumlah maksimum THB3.15 bilion atau RM409.5 juta.
"Anggaran ini diperoleh dengan mengambil kira harga IPO sesaham yang bernilai THB20.3925 bersama cadangan saham baharu untuk diterbitkan.
"Selain itu, sebahagian hutang yang dimiliki TAA akan diubah kepada saham dengan jumlah yang tidak melebihi THB3.9 bilion atau RM507.0 juta yang akan menyokong lagi aliran tunai kumpulan," jelas MIDF Research.
Dalam pengumuman di Bursa Malaysia semalam, AAGB memberitahu, Lembaga Pengarah Asia Aviation Public Company Ltd (AAV) telah memberi kelulusan terhadap resolusi pelan penstrukturan semula korporat dan modal TAA.
AAGB berkata, pelan penstrukturan tersebut dibuat bagi membantu industri penerbangan itu yang telah terjejas teruk oleh COVID-19.
Cadangan pelan penstrukturan semula itu termasuklah IPO TAA, penukaran hutang kepada ekuiti, pinjaman daripada pelabur dalam bentuk bon yang boleh ditukar dan penawaran saham kepada Pengerusi Eksekutif semasa AAV.
Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan AirAsia.
Sehubungan itu, MIDF Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'jual' saham AirAsia dengan harga sasaran sesaham (TP) yang sama iaitu RM0.21.
"Meskipun sektor penerbangan dan perjalanan udara berpotensi untuk terus pulih secara berperingkat pada 2021, ia akan tetap dipengaruhi oleh sekatan perjalanan yang masih belum ditamatkan sepenuhnya," ujar MIDF Research. - DagangNews.com







