IOI Corp catat untung bersih RM411.2 juta bagi Q3, jangka harga sawit kekal kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI Corp catat untung bersih RM411.2 juta bagi Q3, jangka harga sawit kekal kukuh

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Mei - IOI Corp. Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM411.2 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 (Q3) berbanding RM401.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Hasil pada suku berkenaan juga meningkat kepada RM4.1 bilion daripada RM2.86 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Keuntungan bagi segmen perladangan untuk tempoh itu meningkat 179% kepada RM518.5 juta berbanding RM185.9 juta juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Peningkatan tersebut terutamanya disebabkan harga minyak sawit mentah dan isirung yang lebih tinggi, mengimbangi pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang rendah dan bahagian hasil syarikat bersekutu yang lebih tinggi daripada Bumitama Agri Ltd (BAL).

 

Pada suku ketiga itu, harga purata minyak sawit mentah dan isirung masing-masing berlegar pada RM5,064 satu tan metrik dan RM4,588 satu tan metrik berbanding RM3,211 dan RM2,616 bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, bagi segmen berasaskan sumber, keuntungannya menurun kepada RM45.8 juta berbanding RM442.2 juta yang direkodkan bagi tempoh sama 2021. 

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 31 Mac 2022, kumpulan merekodkan untung bersih berjumlah RM1.18 bilion berbanding RM1.03 bilion manakala hasil meningkat kepada RM11.84 bilion daripada RM7.79 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Mengenai prospek kumpulan, IOI berkata, harga minyak sawit mentah dijangka kekal kukuh dalam tempoh terdekat berikutan ketegangan konflik Rusia-Ukraine dan juga masalah kekurangan tenaga buruh yang teruk di Malaysia.

 

"Bagi segmen perladangan kami, harga minyak sawit dijangka meningkat pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022 sejajar dengan aliran musim.

 

"Dengan jangkaan harga yang kukuh, kami menjangkakan segmen perladangan akan menunjukkan prestasi yang baik pada suku keempat ini," katanya.

 

Secara keseluruhan, tambahnya, kumpulan menjangkakan prestasi suku keempat yang lebih baik didorong prestasi menerusi segmen perladangan dan subsegmen oleokimia. - DagangNews.com