Institusi kewangan perlu peka dengan risiko perubahan iklim - Deloitte | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Institusi kewangan perlu peka dengan risiko perubahan iklim - Deloitte

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 April - Keupayaan institusi kewangan mengurus risiko dan menyepadukan pertimbangan perubahan iklim dalam strategi dan operasi perniagaan, dapat membantu memastikan sistem kewangan yang stabil dan kukuh, menurut Deloitte Malaysia.

 

Kegagalan untuk mengenalpasti dan menguruskan risiko berkaitan iklim bukan sahaja menjejaskan institusi kewangan tetapi juga isirumah dan perniagaan.

 

Malah, adalah penting bagi FI untuk menyedari tentang risiko berkaitan iklim, kesannya terhadap operasi, dan memberi tumpuan kepada cara ia boleh membantu pelanggan dan komuniti membina daya tahan iklim, dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

 

Ini menyaksikan gesaan yang dibangkitkan kerajaan dan pengawal selia terutama dengan penerbitan draf dasar Perubahan Risiko Iklim dan Analisis Senario oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 27 Disember 2021.

 

Ketua Penasihat Risiko Deloitte Malaysia, Justin Ong berkata, landskap kawal selia mengenai pengurusan risiko iklim telah berkembang pesat, dengan penubuhan Pasukan Petugas Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) oleh Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) pada 2015.

 

"Selepas itu, Rangkaian Untuk Menghijaukan Sistem Kewangan (NGFS) telah dibentuk dengan kumpulan bank pusat dan penyelia.

 

"Sejak itu, kami melihat pelbagai jangkaan pengurusan risiko iklim dan analisis senario berkembang secara global merentasi pelbagai pengawal selia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Baru-baru ini, Deloitte Malaysia bekerjasama dengan Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP FI) menganjurkan Siri Libat Urus Pengurusan Risiko Perbankan 2022.

 

Program itu tertumpu kepada usaha meningkatkan keupayaan industri perbankan di Malaysia supaya lebih bersedia menghadapi jangkaan daripada pihak berkepentingan yang semakin meningkat dan keperluan kawal selia berhubung perubahan iklim.

 

Turut berkongsi pandangan ketika sesi itu termasuklah Ketua Program Risiko Iklim, Switzerland dan TCFD UNEP FI, David Carlin.

 

Menurutnya, cabaran mengenai jurang data dalam pasaran baharu muncul, kelas aset eksotik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal sebagai pemacu terbesar untuk penambahbaikan.

 

"Pada tahun ini, kami boleh menjangkakan untuk melihat penyeragaman piawaian pelaporan yang lebih baik daripada pengawal selia dan di peringkat industri, pengiktirafan pelepasan yang dijangkakan dan cara ia dikira," jelasnya. - DagangNews.com