Inisiatif MySTEP bantu ramai graduan UMS dapat kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif MySTEP bantu ramai graduan UMS dapat kerja

KOTA KINABALU 6 April - Seramai 90 graduan universiti awam menamatkan program Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) yang dilaksanakan syarikat Britay Asia (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

 

Pengarah PKPKP UMS, Dr Soon Singh Bikar Sing berkata, program tersebut dilaksanakan selama dua minggu membabitkan peserta dari seluruh Sabah.

 

“Para peserta terdiri daripada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan graduan UMS sendiri.

 

“Kesemua peserta akan bekerja dengan pihak industri yang mana pembayaran gaji enam bulan pertama dibuat melalui syarikat Britay Asia (M) Sdn. Bhd,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, majlis perasmian program MySTep Britay @UMS 2022 disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, dan turut dihadiri Pengarah Urusan Britay, Zuber Mohd Isa, baru-baru ini.

 

Datuk Dr Taufiq pula berkata, MySTEP merupakan salah satu program Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

 

 

ums
Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin menyampaikan sijil tamat latihan MySTEP kepada salah seorang peserta.

 

 

“Saya percaya program ini bukan sahaja akan menjamin penempatan pekerjaan kepada peserta, bahkan sepanjang 14 hari pelbagai pengisian seperti latihan kemahiran insaniah, taklimat industri dan sesi temu duga dijalankan melibatkan hampir 40 industri. 

 

“Kepada semua peserta, perjalanan kerjaya anda telah pun bermula. Harungilah dengan penuh dedikasi, semangat dan keikhlasan. Jangan pernah berasa ragu dengan potensi diri,” katanya.

 

Sementara itu, Zuber berkata, program MySTEP diperkenalkan untuk menangani pengangguran, meningkatkan kebolehpasaran dan merangsang pemulihan ekonomi domestik.

 

 

ums

 

 

“Kerjasama penganjuran bersama UMS ini merupakan yang julung kalinya diadakan di Sabah,” ujar beliau yang turut mengumumkan gaji ditawarkan kepada peserta sebanyak RM2,150 sebulan.

 

Untuk rekod, pihak industri yang terlibat dalam program itu termasuklah Golden Borneo Centre Sdn Bhd, Glopec Sdn Bhd, Kuo Dental Sdn Bhd, JMD Group, Sri Jutaya Sdn Bhd, Astana Hotel, Ezytape Sdn Bhd, Topaz Travel d Borneo Sdn Bhd, Mina Trading, VE AutoCool PLT, dan Institusi Kecantikkan NUVIS Sabah.

 

Ia membabitkan peruntukan tajaan sebanyak RM1.4 juta daripada Khazanah Nasional. - DagangNews.com